Syiling meter dicuri, MPKB-BR laksana parkir berkupon

KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) melaksanakan sistem bayaran parkir secara kupon bagi menggantikan parkir bermeter menggunakan syiling sebelum ini.

Ketua Penolong Pengarah Perhubungan Awan MPKB-BRI, Azman Mohd Daham berkata, langkah diambil sebagai usaha menyelesaikan masalah kerugian 50 peratus atau RM100,000 berbanding RM200,000 setahun anggaran keseluruhan hasil kutipan bayaran parkir akibat dicuri oleh kumpulan sindiket.

“Pihak kami mengesan kecurian syiling semakin berleluasa bermula awal Januari hingga sekarang dipercayai dilakukan kumpulan sindiket pada lewat malam.

“Mereka dipercayai menggunakan alatan seperti pemutar skru dan mengumpil bahagian belakang meter serta mencuri syiling, sekali gus merosakkan meter parkir berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Menurutnya, setakat ini, sejumlah 1,500 daripada 6,000 meter parkir yang terdapat di sekitar daerah ini rosak dan pecah terutama di kawasan tumpuan orang ramai termasuk di Bandar Baru Kubang Kerian dan Taman Bendahara, Pengkalan Chepa.

“Sehubungan itu, kaedah parkir berkupon ini menjadi alternatif kepada pengguna untuk membayar tempat letak kereta bermula 10 Jun lalu.

“Dua jenis kupon berharga RM6 dan RM8 ini boleh dibeli daripada pegawai penguat kuasa, di kaunter MPKB-BRI, UTC (Pusat Transformasi Bandar), KB Mall dan ejen-ejen yang dilantik,” katanya.- SINAR HARIAN 26/6/2018

(Visited 4 times, 1 visits today)

Add Comment