Tafakkur dan Tafaqquh Juz 17

MANUSIA merupakan makhluk yang memiliki sifat tergesa-gesa. Sifat ini kadang-kadang menguasai manusia sehingga ketika mereka beribadat kepada Allah, mereka menggesa Allah dalam doa agar segera dikabulkan segala permintaan. Oleh itu, Allah melarang manusia daripada bersifat dengan terburu-buru sebagaimana firman-Nya:

خُلِقَ الْإِنْسَانُ مِنْ عَجَلٍ ۚ سَأُرِيكُمْ آيَاتِي فَلَا تَسْتَعْجِلُونِ

“Manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya. Aku akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Ku; maka janganlah kamu meminta disegerakan.”

[al-Anbiya’: 37]

Sifat terburu-buru adalah sikap negatif akibat manusia melakukan sesuatu tindakan tanpa berfikir panjang apatah lagi memikirkan risiko yang bakal dihadapi. Adapun bergegas dalam melakukan perkara kebaikan adalah sikap positif sekiranya jelas bahawa perbuatan yang bakal dilakukan itu adalah baik, maka kita dianjurkan untuk segera melakukannya.

Kajian sains juga telah membuktikan bahawa sifat-sifat yang tidak baik, ianya boleh menghancurkan dan memusnahkan jasad manusia. Antara sifat yang dikaji dan boleh memusnahkan diri manusia ialah sifat terburu-buru. Sifat ini akan menghasilkan banyak sikap negatif lain seperti berbohong demi untuk segera mendapatkan habuannya.

Menurut Pakar Psikologi dari Universiti Massachusetts US, Robert Feldmen beliau mendapati orang yang bersifat dengan terburu-buru dalam semua perkara akan pasti memiliki sikap berbohong. Menurut kajiannya, manusia seperti ini berpotensi sebanyak 60 peratus akan berbohong dalam perbualannya iaitu sekurang-kurangnya sekali berbohong dalam jangka masa 10 minit perbualan.

Akibat daripada sikap ini juga boleh menyebabkan berlakunya stres yang mengakibatkan seseorang itu menghadapi masalah jantung. Stres juga boleh membawa kepada masalah kemurungan dan boleh membawa kepada membunuh diri. Oleh sebab itu, Islam melarang umatnya daripada bersikap terburu-buru.

Sempena kedatangan Ramadan ini, kita hendaklah berusaha membuang segala sifat Mazmumah yang membinasakan diri sendiri. Bacalah al-Quran serta selidiki maknanya, insyaAllah terlalu banyak permasalahan diri dan masalah kehidupan dapat diatasi.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
17 Ramadan 1439H

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
23Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment