Tafakkur dan Tafaqquh Juz 22

TAFAKKUR hari ini mengamati berkenaan kurniaan Allah S.W.T kepada Nabi Daud A.S dengan pelbagai nikmat termasuklah dapat mencair serta membentuk pelbagai jenis besi bagi melancarkan proses peradaban di zamannya. Firman Allah S.W.T:

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ مِنَّا فَضْلًا ۖ يَا جِبَالُ أَوِّبِي مَعَهُ وَالطَّيْرَ ۖ وَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيدَ

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia daripada Kami (sambil Kami berfirman): Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya) serta Kami juga telah melembutkan besi baginya.”

[Saba’: 10]

Besi merupakan logam yang paling penting sepanjang sejarah umat manusia sejak peradaban zaman purba sampai sekarang. Berdasarkan kekuatan, bentuk dan struktur yang dihasilkan daripada pengolahan besi, boleh dikatakan besi menjadi tunjang dalam peradaban moden ke arah pembangunan gedung pencakar langit, lebuh raya luas, kenderaan, senjata, alat pertanian dan segala jenis mesin canggih.

Al-Quran telah menceritakan keunikan besi ini pada sembilan ayat. Allah menegaskan bahawa besi yang ada di bumi adalah hasil kurniaan Allah yang diturunkan dari langit. Tanpa tafakkur yang tinggi, manusia tidak dapat memahami kenyataan Allah S.W.T ini.

Selepas beberapa abad, barulah ahli Astronomi moden berpendapat bahawa besi berasal dari luar Sistem Suria dan bukannya berasal dari perut bumi. Mereka berpendapat ia datang melalui batu dari angkasa yang jatuh ke bumi sejak dahulukala lagi. Menurut mereka lagi, adalah mustahil besi berasal dari bumi kerana tenaga yang diperlukan untuk menghasilkan satu atom besi adalah lebih kurang empat kali lebih banyak daripada tenaga dalam Sistem Suria ini. Pendapat ini turut diperkuatkan oleh Profesor Armstrong yang menyingkap bahawa besi yang wujud dalam dunia ini sebenarnya berasal dari bintang-bintang gergasi di luar angkasa.

Teknologi pengolahan besi turut diceritakan dalam al-Quran umpamanya melalui kisah Raja Zulqarnain yang telah membina benteng besi terkukuh di dunia. Begitu juga Nabi Daud A.S telah mencipta suatu produk daripada bahan dasar besi iaitu baju besi untuk kegunaan dalam peperangan. Setelah zaman berlalu, kini cara pengolahan besi sudah begitu canggih melalui proses Blast Furnaceiaitu tungku tanur tinggi dan digunakan dalam proses seperti peleburan bijih besi, pembakaran, proses tuang, cor, tempa dan lainnya untuk pembangunan pesat peradaban manusia kini.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
22 Ramadan 1439H

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment