Tafakkur dan Tafaqquh Juz 25

BERUSAHA untuk mendapatkan rezeki yang halal sangat dituntut dalam Islam. Malah di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menganjurkan umat Islam supaya berusaha mencari rezeki halal. Ternyata Allah S.W.T mengurniakan rezeki mengikut kadar usaha dan keadaan peribadi seseorang. Firman Allah S.W.T:

وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَٰكِنْ يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَا يَشَاءُ ۚ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ

“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki kepada setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di muka bumi. Akan tetapi Allah menurunkan rezeki menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Maha Melihat dengan nyata.”

[al-Syura: 27]

Rezeki kurniaan Allah sudah tertulis kepada seseorang manusia sewaktu berada dalam kandungan ibu. Baki lagi, manusia mestilah berusaha untuk mendapat rezeki yang berkat dan sentiasa bersyukur di atas kurniaan Allah. Untuk dapatkan rezeki berkat, umat Islam mestilah berusaha bangun seawal pagi untuk mengerjakan Solat Subuh. Nabi S.A.W ada mendoakan supaya Allah memberkati umatnya selama mereka berusaha bangun waktu Subuh. Allah akan menentukan kadar rezeki berdasarkan sejauh mana kadar usaha manusia untuk Ubudiyyah kepada Allah.

Ternyata kenyataan ini turut disokong oleh ramai pengkaji Barat umpamanya Dr Joerg Huber dari Universiti Roehampton, UK menegaskan bahawa seseorang yang bangun seawal pagi akan sihat tubuhnya, moodnya akan jadi baik dan dia akan aktif untuk cari rezeki kehidupannya. Pada dasarnya, ini adalah tuntutan Islam agar umatnya selalu mentarbiahkan diri supaya sentiasa berada dalam situasi yang baik dan diredhai Allah.

Pada hari ini, dengan kepesatan teknologi dan ilmu Sains Genetik, Saintis-saintis moden telah merumuskan bahawa sifat manusia adalah dibentuk oleh faktor genetik dan juga faktor pentarbiahan. Selain manusia itu diprogram oleh Allah S.W.T mengikut fizikal, tabiat dan kecenderungan tertentu yang diambil daripada gabungan genetik ayah dan ibunya, Allah juga mewujudkan faktor bimbingan dan pentarbiahan bagi mengimbangi faktor genetik yang sedia wujud pada manusia.

Oleh itu, manusia tidak boleh menyalahkan takdir hasil daripada genetik yang membentuk segala ciri dan personalitinya sehingga mempengaruhi segala amalannya di dunia ini bahkan ia disokong sebenarnya oleh faktor kekuatan diri atau iman seseorang tersebut. Tarbiah diri untuk kekentalan iman inilah yang menjadi tuntutan kepada manusia bagi meraih kehidupan yang dirahmati, rezeki yang sentiasa diberkati dan kehidupan yang sentiasa bersedia menghadapi hari mati.

Fikir-fikirkan.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
25 Ramadan 1439H

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
37Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment