Tafakkur dan Tafaqquh Juz 28

NAFKAH adalah tanggungjawab wajib ke atas ketua keluarga walaupun mengalami kesempitan hidup. Termasuklah memberi infaq dan bersedekah. Ianya sangat dituntut walaupun mempunyai kesukaran hidup. Allah akan memberi dan menggantikan setiap infaq yang dikeluarkan dengan gantian yang lebih baik dan mempermudahkan segala kesusahan. Firman Allah S.W.T:

لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ ۖ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah, memberikannya berdasarkan kemampuan; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi infaq daripada apa yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberati seseorang melainkan mengikut kadar yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

[Al-Talaq: 7]

Ibu bapa yang hidup dalam kesusahan hendaklah sedar bahawa Allah telah menentukan rezeki mereka serta orang di bawah tanggungan mereka. Apa yang penting, mereka perlu berusaha dan mengeluarkan nafkah tanpa menyembunyikannya kerana ia boleh memudharatkan anak-anak di bawah jagaan mereka.

Belajarlah memberi infaq dan bersedekah kerana ia adalah suatu amalan mulia yang dapat menyelesaikan kesulitan hidup. Setiap perbelanjaan yang dikeluarkan fisabilillah akan dibalas dengan perkiraan melebihi 700 kali ganda. Selain itu, ia dijanjikan dengan kehidupan yang mudah, tenang dan perjalanan hidup diberkati kerana keberkatan daripada infaq itu sendiri.

Menurut beberapa pandangan Ilmuan Barat seumpama seorang Profesor Psikologi dari Universiti Oregon, Ulrich Mayr berpendapat bahawa amalan memberi derma boleh mengaktifkan sel-sel otak dan ini akan menjadikan orang yang berbuat demikian berasa lapang dada dan tenang. Pandangan beliau tersebut telah diterbitkan dalam sebuah Jurnal Science (2007) yang dikenali oleh ahli akademik sebagai jurnal berpengaruh.

Kajian Profesor Ulrich Mayr yang dibantu oleh dua orang Pakar Ekonomi dilakukan ke atas 19 sukarelawan wanita. Mereka dibekalkan dengan wang sejumlah USD 100. Kemudian pengkaji-pengkaji berkenaan meneliti aktiviti otak dengan menggunakan pengimbas Functional Magnetic Resonance Imaging (FMRI). Melalui pengimbas canggih itu, segala aktiviti otak dapat dikesan dengan mudah dan respons pengesanan adalah amat teliti.

Kesemua wanita sukarelawan tersebut setelah memasukkan wang mereka ke dalam akaun tabung makanan (atau di negara kita sama seperti akaun zakat), maka FMRI menunjukkan bahagian otak mereka terus aktif serta memancarkan citra positif saat mereka memberi wang tersebut.

Sementara dalam buku ‘Why Good Things Happen to Good People‘, Profesor Stephen Post telah melaporkan bahawa dengan kebiasaan memberi derma telah terbukti ianya meningkatkan manfaat kesihatan bagi penderita penyakit kronik termasuk pengidap HIV. Kenyataan-kenyataan ini semuanya membuktikan keagungan Kitabullah yang telah lama menyatakan hal ini untuk diambil pengajaran oleh manusia.

Tafakkur dan tafaqquhlah kandungan al-Quran.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
28 Ramadan 1439H

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment