Tafakkur dan Tafaqquh Juz 3

AL-QURAN telah menerangkan berkaitan proses kejadian manusia sebagai satu tanda daripada tanda-tanda kekuasaan Allah. Demikian itu, Allah menempelak sikap manusia yang sering alpa asal-usul kejadian mereka sehinggalah sanggup membantah dan mempertikaikan hakikat kekuasaan Allah secara mutlak.

Manusia perlu menyelidiki semula hakikat kewujudannya yang hanya bermula daripada setitis mani dan Allah yang menentu pertumbuhannya semasa dalam rahim ibu. Firman Allah S.W.T:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَخْفَىٰ عَلَيْهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ (٥) هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (٦)

“Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit (5) Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (6)”

[ali-‘Imran: 5-6]

Proses kejadian manusia terjadi melalui percantuman benih lelaki dan perempuan yang dikenali sebagai Nutfah. Kemudiannya menjadi segumpal darah atau Alaqah kemudiannya seketul daging atau Mudghah. Setelah itu ia menjadi beberapa tulang atau Izham lalu tulang itu dibaluti dengan daging seterusnya terjadilah lembaga yang ditiupkan roh oleh Allah.

Menurut kajian sains, proses kewujudan manusia itu terdiri daripada sel daging, tulang, saraf, darah dan lain-lain yang membentuk jasad. Pertemuan benih seorang ayah dan ibu akan membentuk janin dalam rahim ibu yang tumbuh secara evolusi. Setelah janin itu sempurna, maka baharulah lahir seorang bayi.

Allah S.W.T dengan kuasa-Nya telah mengizinkan pembentukan otak, saraf tunjang, telinga dan anggota-anggota yang lain pada minggu keempat. Selain itu, sistem pernafasan bayi sudah terbentuk. Jantung bayi pula mula berdegup. Untuk perkembangan seterusnya, darah mula mengalir dengan lebih banyak lagi ke bahagian jantung bagi membekalkan oksigen dan pemakanan yang secukupnya.

Para Ulama sepakat mengatakan bahawa peniupan roh berlaku selepas terbentuknya organ-organ tubuh iaitu pada hari ke-120. Ketika di alam rahim, perkembangan manusia bukanlah proses perkembangan fizikal semata-mata tetapi telah pun mempunyai hubungan dengan Allah S.W.T melalui ikatan kesaksian dan perjanjian.

Marilah sama-sama kita melapangkan masa tafakkur ayat-ayat Allah sempena Ramadan ini. Perbanyakkan bacaan al-Quran beserta mempelajari hukum tajwid dan mentadabbur rahsia ayat-ayat Allah yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan tinggi.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
03 Ramadan 1439H

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
67Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment