Tafakkur dan Tafaqquh Juz 8

webmaster

PENELITIAN dalam risalah Tafakkur pada Juz 8 hari ini mengambil pengajaran daripada satu ayat yang menyentuh berkenaan kehebatan ilmu Allah pada penciptaan angin. Antara lain Allah S.W.T berfirman:

وَهُوَ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا أَقَلَّتْ سَحَابًا ثِقَالًا سُقْنَاهُ لِبَلَدٍ مَيِّتٍ فَأَنْزَلْنَا بِهِ الْمَاءَ فَأَخْرَجْنَا بِهِ مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ ۚ كَذَٰلِكَ نُخْرِجُ الْمَوْتَىٰ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (٥٧)

“Dan Dia-lah yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang kering-kontang, lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu. Kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).”

[al-A’raf: 57]

Perkataan angin dalam al-Quran datang dengan lafaz al-Riyah (الرِّيَاحَ) yang membawa erti tiupan angin yang baik berserta rahmat. Sementara lafaz yang datang dengan al-Rih (الرِّيح) membawa maksud tiupan angin azab yang memusnahkan manusia.

Para Ulama telah mengkaji ayat-ayat Allah tentang kehebatan makhluk angin ini. Imam Ibnu Kathir telah menyebut dalam tafsirnya pendapat Sayyidina Abdullah ibnu Amru R.A bahawa angin yang disebut dalam al-Quran terbahagi kepada lapan jenis. Terdapat empat angin pembawa rahmat dan empat angin yang membawa azab.

Empat angin pembawa kebaikan disebut dalam al-Quran sebagai Al-Zaariyat, Al-Mursalat, Al-Mubassyirat dan Al-Naasyirat. Sementara angin azab dinyatakan dua daripadanya dapat memusnahkan makhluk di darat iaitu Al-Shorshor dan Al-‘Aqim. Angin pemusnah di lautan pula ialah Al-Qashif dan Al-‘Ashif.

Demikian itu, Allah S.W.T mengarahkan kita memerhatikan isi kandungan al-Quran secara mendalam kerana padanya terdapat terlalu banyak rahsia alam yang sangat berguna untuk manusia termasuk ilmu tentang pergerakan angin.

Pada hari ini, angin juga turut digunakan untuk menghasilkan elektrik. Angin yang bertiup dapat memusingkan bilah kipas pada turbin angin. Bilah kipas kemudiannya akan menggerakkan gandar yang disambungkan pada generator dan akan menghasilkan tenaga elektrik.

Begitu juga dalam penurunan hujan, angin memainkan peranan dalam pembentukan awan yang akhirnya menghasilkan air hujan. Pakar Meteorologi hanya mengetahui maklumat terperinci pembentukan hujan, struktur dan fungsinya setelah adanya peralatan canggih seperti kapal terbang, satelit, komputer dan lain-lain.

Ianya adalah bukti bahawa al-Quran sangat kaya dengan khazanah ilmu yang tidak mampu dicapai oleh pemikiran manusia melainkan dengan tafakkur dan tafaqquh ayat-ayatnya.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
08 Ramadan 1439H

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 9

TAFAKKUR pada hari ini sekitar ayat yang membincangkan perihal hati manusia yang sentiasa berbolak-balik. Allah S.W.T memberi perumpamaan golongan yang tidak mendidik hati sehingga keras membatu adalah sama seperti binatang ternak bahkan lebih sesat lagi, Firman-Nya yang berbunyi: وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا […]

Subscribe US Now