TANAH RUNTUH : BUKAN KESAN PENGOREKAN PASIR

webmaster

oleh Che Maziah Mat

KOTA BHARU– Aktiviti pengorekan pasir bukanlah faktor yang menjadi penyebab utama berlakunya beberapa rekahan besar pada tebing dan jalan tar yang menjadi laluan utama di kampung Celagi baru-baru ini seperti yang digembar-gemburkan oleh orang ramai. Kejadian terkini yang berlaku pada awal pagi tadi menyaksikan berlakunya rekahan baharu dan telah dikenalpasti seluas 400 meter kawasan yang terlibat. Walaubagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana penduduk sudah diarahkan berpindah dua hari lalu.

Menjawab dakwaan yang mengatakan aktiviti pengorekan pasir di sekitar tebing tersebut telah menyebabkan berlakunya tanah runtuh, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti, YB Dato’ Sr. Haji Azami Mohd Nor berkata, “Pihak kita masih lagi mencari punca sebenar yang berlaku, mungkin aktiviti pengorekan pasir juga menjadi sebab tetapi ingin saya tegaskan ia bukanlah faktor penyebab utama kepada berlakunya tanah runtuh.

Ada yang kata puncanya daripada aliran air bawah tanah yang sudah lama tidak diselenggara, walaubagaimanapun persoalan kepada faktor utama masih lagi tiada jawapan sehinggalah kita mendapat laporan forensik daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengetahui faktor sebenar yang berlaku”.

Sebelum itu, satu Jawatankuasa Teknikal Tender dan Pemantauan Runtuhan Tebing Bandar Pasir Mas telah ditubuhkan pada hari kejadian, khusus untuk menyelia projek-projek ini bagi perlantikan kontraktor, perbelanjaan dan sebagainya, yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Sr. Haji Azami Mohd Nor sendiri dan melibatkan juga pegawai-pegawai JPS, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Kerja Raya (JKR), YBrs Dato’ Timbalan SUK (Pembangunan), Pegawai Kewangan Negeri serta agensi-agensi yang terlibat. Jawatankuasa ini antara lain bertujuan mengumpulkan bukti, menyiasat secara terperinci, melakukan tindakan serta perlaksanaan kepada penyelesaian yang sepatutnya.

Dalam hal yang sama, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap nasib penduduk yang terlibat dengan mencari dan menyediakan tempat tinggal yang baharu di sekitar taman perumahan tersebut bagi kemudahan mereka untuk meneruskan kehidupan dan mata pencarian. Bagi penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah, mereka semua akan dikenalpasti melalui mesyuarat khas esok hari untuk tindakan selanjutnya. Sepanjang siasatan yang berlangsung, Kerajaan Negeri juga mencadangkan supaya tidak dibenarkan sebarang aktiviti pembinaan berlangsung di kawasan yang terlibat di sepanjang tebing sungai berkenaan.- UPKN KELANTAN 22/2/2021

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

PKS PERLU PERSIAP DIRI GUNA TEKNOLOGI DIGITAL

oleh Che Maziah Mat KOTA BHARU – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyarankan agar usahawan PKS dan Mikro mempersiapkan diri melalui penggunaan teknologi digital bagi menghadapi senario perniagaan yang berbeza khususnya selepas tamat tempoh PKP memandangkan tidak mudah untuk menganggap […]

Subscribe US Now