‘Tengok saja pun dapat pahala’

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) mengalu-alukan kehadiran umat Islam di negeri ini supaya sama-sama menyertai kempen interaksi bersama al-Quran menerusi program World #QuranHour.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Ab Hadi berkata, meskipun program berkenaan jatuh pada Hari Merdeka iaitu 31 Ogos, namun tarikh dan cuti hari itu bukan penghalang untuk mereka hadir.

“Setiap kita perlu ada al-Quran, malah setiap hari juga kita kena ada ayat al-Quran dalam diri iaitu menerusi bacaan al-Quran.

 “Manfaat al-Quran ini banyak, yang mana kalau kita tengok al-Quran pun kita sudah dapat pahala, inikan pula mendengar, apatah lagi membacanya, sudah pasti pahalanya berlipat kali ganda.
 “Sekiranya pada hari tersebut iaitu hari interaksi bersama al-Quran dalam World #QuranHour kita rasa malu nak baca, risau tersilap baca ayat al-Quran, sekurang-kurangnya kita lihat dan dengar orang lain baca, kita sudah dapat pahala,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Hadir sama, Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.

Nik Mohd Azlan berkata, sesiapa sahaja yang menyertai program keagamaan begini, perbuatan mereka tidak sia-sia.

“Pasti ada ganjarannya. Malah seboleh-bolehnya kita memperbanyakkan usaha bersama al-Quran, tambahan ia berlangsung sehari sebelum umat Islam meraikan Hari Raya Aidiladha.

“Hari tersebut adalah Hari Wukuf di padang Arafah, yang mana kita disunatkan berpuasa kerana fadilatnya sangat besar iaitu dapat menebus dosa setahun lalu dan setahun akan datang bagi mereka yang tidak menunaikan fardu haji.

“Al-Quran pula menjadi kebanggaan kepada umat Islam.  Malah kita perlu ingat, membaca al-Quran ini bukan hanya pada bulan Ogos sahaja, malah kita digalakkan membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu ain sehari,” katanya.

Menurutnya, tahun ini secara kebetulan program World #QuranHour akan berlangsung serentak bersama sambutan  hari kemerdekaan dan Hari Wukuf, jadi umat  Islam di negeri ini digalakkan merebut peluang dan manfaatnya.

“Kita turut mengalu-alukan penglibatan 592 masjid di bawah Maik untuk turut sama berinteraksi dengan al-Quran bersama halaqah (kumpulan) World #QuranHour pada jam 12 tengah hari hingga 1 petang 31 Ogos ini,” katanya.- SINAR HARIAN 16/8/2017

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment