TG GHAZALI PULAI CHONDONG: KU KELANTAN

webmaster

KELANTAN sebagai negeri tadahan wahyu tidak lekang daripada melahirkan para ulamak, bahkan sejak dua abad yang lalu, Kelantan dianggap sebagai Serambi Makkah kerana kegemilangannya sebagai pusat keilmuan Islam. Semenjak Tok Pulai Chondong (Tuan Guru Haji Abdul Samad Faqih Abdullah, 1792-1874) membuka pondok di Pulai Chondong pada 1820 hingga wafatnya Tok Kenali pada 1933, tempoh 100 tahun ini dianggap kemuncak perkembangan keilmuan Islam di Kelantan. Salah seorang murid Tok Kenali dari Pulai Chondong yang menjadi ulamak besar ialah Tuan Guru Haji Ghazali Ismail yang selalu disebut sebagai Tok Guru Haji Ghazali Pulai Chondong. Beliau hidup sezaman dengan ulamak besar Kelantan yang juga murid Tok Kenali iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad, Bunut Payung.

Tuan Guru Haji Ghazali dilahirkan di Kampung Lati, Pasir Mas sekitar 1916 iaitu ketika suasana politik dunia masih tegang dengan Perang Dunia Pertama dan letusan Musuh Tok Janggut di Kelantan pada 1915. Ayahnya, Haji Ismail Muhammad juga seorang tokoh agama yang terkenal dengan gelaran ‘Tok Bangkok’. Daripada 12 orang adik beradiknya, Tuan Guru Haji Ghazali mempunyai dua orang abang yang terkenal iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga (menantu Tok Selehong, sekali gus datuk kepada Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki, Ketua Pergerakan Pemuda Umno) dan Tuan Guru Haji Mokhtar Kg Siram. Kedua-dua mereka membuka pondok masing-masing di Batu Tiga dan Kg Siram dalam jajahan Pasir Mas.

Beliau mendapat sentuhan ilmu dengan abangnya, Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga, sebelum memasuki Pondok Tok Kenali. Setelah beberapa tahun di Kenali, beliau belajar pula dengan Tuan Guru Haji Umar Nuruddin di Sungai Keladi sehingga berusia 18 tahun. Beliau kemudian berhijrah ke Makkah selama empat tahun, di mana guru-gurunya ialah Syed Alwi, Sheikh Muhammad Amin Kutub, Sheikh Hassan Muhammad Masyhat, Sheikh Muhammad Syafie Kedah dan lain-lain. Beliau belajar Tarekat Ahmadiyah dengan Syeikh Syafie Kedah dan Tuan Guru Haji Abdul Salam Kubang Pasu. Beliau juga menggurui Tuan Guru Haji Ismail Qurra’ dalam Qiraat Tujuh dan hafazan al-Quran. Pada 1951, beliau sekali lagi bernaung ilmu di Makkah selama dua tahun, di samping menziarahi Syria, Jordan, Iraq dan Mesir.

Setelah beliau kembali ke Kelantan pada 1940, beliau mula menjadi guru di Pondok Kg Sipol di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga, abangnya. Beberapa ketika kemudian, beliau membuka pondok sendiri di Kg Kok Lanas selama lapan tahun. Setelah itu, beliau membuka pondok baru di Kg Galang, Pulai Chondong dan di sinilah namanya mulai terkenal dan mendapat sambutan ramai. Beliau mempunyai tiga isteri iaitu Hajah Fatimah Abdul Rahman, Hajah Halimah Abdul Rahman dan Hajah Salehah Che Mat, selain turut dikurniakan 15 orang anak. Salah seorang anaknya, Haji Abdul Halim adalah Imam Masjid Kg Galang yang mewarisi tarekatnya, selain berusaha menghidupkan semula Pondok Kg Galang itu.

Selain mengajar, Tuan Guru Haji Ghazali juga berjaya menulis dan menterjemah kitab-kitab. Antara kitab terjemahan beliau ialah Penatapan Ke Alam Abadi yang diterbitkan pada 1967 oleh Pustaka Aman Press, iaitu terjemahan karya Ibnu Aqilah. Beliau juga menulis kitab Is’af Murid al-Inabat Ila Allah yang diterbitkan pada 1955 oleh Matbaah Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Sebuah lagi karangan beliau pada 1960 dalam bidang tasawuf yang tidak dicetak, iaitu terjemahan kitab al-‘Aqd an-Nafis fi Nazam Jawahir at-Tadris karangan Sidi Ahmad Idris. Di atas keilmuan beliau juga, pada 1955, beliau telah dilantik menganggotai Majlis Ulamak MAIK, iaitu badan fatwa Kelantan. Pada 1962, beliau dilantik pula sebagai Pelawat Mubaligh Jajahan Machang yang menunjukkan pengiktirafan terhadap keilmuannya.

Selain aktif mengajar dan berdakwah, Tuan Guru Haji Ghazali turut terlibat dalam politik apabila beliau menyertai PAS pada 1955, iaitu setelah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir menyertai PAS. Penglibatan beliau dalam PAS memberi kesan kepada Tuan Guru Haji Hassan Ketereh yang sebelum ini bersama dengan Umno. Setelah itu, beliau menganggotai Dewan Ulamak PAS Kelantan bersama beberapa orang Tuan Guru lain seperti Tuan Guru Haji Hussein Rahimi, Tuan Guru Haji Abdul Ghani Kubang Bemban, Tuan Guru Haji Che Hassan Lemal dan Tuan Guru Haji Daud Kubang Bemban. Pada ketika inilah munculnya isu kafir-mengkafir di Kelantan ekoran fatwa Tuan Guru Haji Daud Kubang Bemban. Selepas isu ini reda, Tuan Guru Haji Ghazali diangkat menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan menggantikan Tuan Guru Haji Abdul Ghani. Setelah beberapa tahun mengetuai Dewan Ulamak PAS Kelantan, beliau telah jatuh sakit dan meninggal dunia akibat kencing manis pada 29 Oktober 1969, empat hari selepas wafatnya Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy.

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat
11 Jamadil Awal 1441
7 Januari 2020 HARAKAHDAILY 7/1/2020

Sumber: https://harakahdaily.net/index.php/2020/01/07/tg-ghazali-pulai-chondong-ku-kelantan/

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

PERLU SEBAB RESTORAN OPERASI LEBIH 12 MALAM

KOTA BHARU: Peniaga kedai makan yang ingin meneruskan jualan melebihi jam 12 malam perlu mengemukakan surat permohonan kepada Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT). Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pada masa yang sama permohonan itu perlu dinyatakan sebab yang munasabah kenapa kedai mereka perlu beroperasi selepas jam […]

Subscribe US Now