KOTA BHARU: Masih ada pihak yang mendakwa penebangan hutan bagi aktiviti pembalakan di Lojing berleluasa, sedangkan tiada lesen baharu dilulus di kawasan itu sejak 2006.
Dakwaan itu dibuat sekumpulan Orang Asal kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) hari ini.
Rombongan Orang Asal dari Lojing difahamkan dibawa ke Kuala Lumpur dengan bantuan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Timbalan Pengarah Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) Rosli Abdullah berkata kerajaan negeri sudah lama membeku aktiviti pembalakan di Lojing, kira-kira 10 tahun lepas.
Katanya, tiada lagi aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan kecuali kegiatan pertanian untuk sayur-sayuran.
“YTK juga membangunkan kawasan pertanian di kawasan seluas 600 ekar di Pos Jedip dengan kerjasama syarikat swasta.
“Kerajaan negeri juga merezabkan kawasan seluas 30 ekar kepada penduduk Orang Asal di kawasan itu di samping menyediakan bantuan lain,” katanya di sini.
Tok Batin Kampung Sigar, Rada Jambu hari ini dilapor mendakwa kampung mereka semakin sempit kerana pembalakan yang berleluasa.
Seperti dilapor sebuah laman berita, kata Rada kampung itu sebahagian daripada kawasan hutan simpan kekal di Lojing dan hanya tinggal sebuah kawasan kecil yang belum disentuh.
Rosli juga berkata syarikat yang terbabit dengan aktiviti pertanian sayur-sayuran di Jedip memberi bantuan menyediakan saluran paip air bagi kemudahan penduduk.
Menurutnya banyak peruntukan diberi kepada penduduk dengan membekalkan “polypipe” bagi membolehkan mereka mendapat bekalan air daripada bukit berdekatan.
Namun katanya, projek tersebut tidak dilaksanakan mereka, sedangkan peruntukan sudah diberi. – HARAKAHDAILY 26/1/2017