KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menafikan terdapat mangsa banjir dua tahun lalu yang masih tinggal di dalam khemah mahupun rumah transit.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, berdasarkan mesyuarat terkini bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) masing-masing telah memutuskan tiada lagi mangsa banjir menetap di khemah.
“Maklumat yang ada dengan kita tidak ada lagi orang yang patut tinggal di dalam khemah sebab tempat duduk untuk mereka telah disediakan, kalau di Gua Musang di Pusat Latihan Khidmat Negara dan sebagainya.
“Mereka tidak robohkan khemah tersebut sebab urusan khemah ini adalah urusan bawah MKN. Di Gua Musang memang khemah kita sudah tidak ada,” katanya ketika ditemui media semalam selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim.
Beliau berkata demikian mengulas siri Laporan Ketua Audit Negara 2015 terhadap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Laporan tersebut mendapati di Kelantan hanya 646 daripada 1,101 (59 peratus) Rumah Kekal Baharu telah disiapkan dan masih ada beberapa mangsa yang tinggal di dalam khemah atau mendiami rumah transit.
Abdul Fattah juga menjelaskan, berdasarkan penelitian sebelum ini pihaknya mendapati ada yang masih tinggal di dalam khemah kerana tidak mahu berpindah ke PLKN dan terdapat juga individu yang sebenarnnya tidak layak menerima rumah.
Katanya, minggu lalu beliau turut menerima viral masih terdapat mangsa banjir yang menetap di dalam khemah.
“Khemah kita memang sudah tidak ada,” katanya.