KOTA BAHRU: Sama juga dengan peraturan solat berjemaah di satu tempat, tidak boleh wujud jemaah lain selagi jemaah asal masih lagi ada.
“Seperti solat berjemaah, tidak sah buat jemaah lain sedangkan jemaah yang asal belum lagi selesai. Begitu juga kaedah berpolitik Islam, tidak boleh wujud jemaah Islam lain kerana jemaah asal masih ada lagi.
“Tidak perlu hendak tubuh parti lain yang juga mahu memperjuangkan Islam di negara ini, sedangkan PAS masih ada dan mendapat sokongan meluas rakyat,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Dr Johari Mat pada pelancaran Institut Latihan Pilihan Raya PAS (ILPAS) Kelantan di Putik, petang tadi.
Hadir sama Speaker Dun Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Zulkifli Mamat, Pengerusi ILPAS, Dr Wan Nik Wan Yussof dan Pengarah ILPAS Nik Bahrum Nik Abdullah.
Dr Johari Mat yang juga anggota Dewan Negara berkata tidak perlu wujud banyak jemaah dalam Islam kerana ia boleh mengelirukan rakyat.
“Namun apa yang berlaku sekarang kerana masih ramai yang tidak faham tentang Islam. Jadi tugas kita sekarang beri kefahaman kepada mereka.
“Peliknya ada yang baru balik daripada mengerjakan haji namun masih lagi bersekongkol dengan perjuangan sekular yang melawan gerakan Islam,” ujarnya.
Pada program itu Pengarah Pilihan Raya setiap kawasan di Kelantan menerima tauliah dan modul ILPAS daripada Dr Johari.
Mereka juga berikrar bagi mempertahankan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama. Ikrar tersebut diketua Nik Bahrum. – HARAKAHDAILY 19/1/2017