TIGA CARA PKPNK PASARKAN PRODUK TANI KE SELURUH KELANTAN

oleh Norzana Razaly

Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) agensi bertanggungjawab dalam memajukan hasil tani negeri, mengambil peranan serius membantu menyelesaikan lambakan produk tani rakyat Kelantan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 12 Mei ini dengan tiga cara berkesan iaitu:

1. Pembelian produk secara tunai daripada para petani dan penternak berdaftar dengan agensi.

2. Pengklasifikasian produk dan hasil tani mengikut kategori. Produk boleh disejuk-bekukan, akan disimpan di bilik sejuk beku milik PKPNK.

3. Pemasaran terus produk berjangka hayat pendek secara agihan kepada golongan asnaf di seluruh negeri melalui Pusat Khidmat Masyarakat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, YM Engku Rajhan Engku Ismail, PKPNK sedang mengemaskini perolehan data sebenar jumlah hasil lambakan hasil tani yang berdaftar dengan semua pihak terlibat seperti jabatan veterinar, pertanian dan perikanan.

Lambakan hasil penternakan melibatkan daging arnab, puyuh dan ayam kampung yang sebelum ini memang mendapat sambutan hangat oleh pengusaha sate tersohor di Kajang.

Manakala sektor pertanian pula merekodkan lebihan buah betik dan tebu sementara ikan kerapu hibrid dan kelah mendominasi lambakan di sektor perikanan negeri akibat taukeh dari Pulau Pinang tidak dapat memborong dan mengeksportnya ke luar negara.

Stok ikan bernilai premium yang popular di pasaran antarabangsa ini disimpan secara sejuk beku di Pengkalan Chepa.

PKPNK membuka peluang kepada peminat dalam kalangan rakyat tempatan untuk merasa produk berkualiti dengan harga mampu bayar. Sebarang pertanyaan dan tempahan belian boleh dibuat melalui talian 09-097481957 sambungan 1203 dan 1204.

Pihaknya juga sedang berusaha memasarkan produk Kelantan kepada negeri berpenduduk tinggi seperti di Ipoh atau Kuala Lumpur.

“Perancangan membuka Kelantan Farm Shop di luar Kelantan yang tergendala sebentar ekoran PKP tetap akan diteruskan selepas tempoh PKP tamat. Sudah ada rakan kongsi PKPNK berminat membawa hasil tani dan produk hiliran buatan Industri Kecil Sederhana (IKS) Kelantan ke luar atas keyakinan produk petani dan penternak Kelantan bersih suci (halalan toyyibah)”, ujarnya.

Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2663044060596611

(Visited 34 times, 1 visits today)

Add Comment