KOTA BHARU: Pertarungan sengit pidato kontemporari Ekspresi Kalam Pemidato Muda cabaran Minggu Ketiga memihak kepada PM Hakim, PM Mashanis dan PM Adam mengenepikan empat orang rakan mereka yang lain. Pidato berlangsung di Syabab Point Kota Bharu di sini.
PM Hakim adalah mahasiswa Kolej Islam Antrabangsa Sultan Ismail Petra Kota Bharu (KIAS), PM Adam pelajar, Kolej Sains Tahfiz Kok Lanas Kelantan dan PM Mashanis, penuntut di Institut Perguruan Sultan Mizan Besut Terengganu.
Pidato mereka bagi minggu ketiga ini adalah berdasar kepada buku-buku pilihan yang telah diundi dalam Kuliah Ekspresi Ahad lalu.
Ekspresi Kalam Pemidato Muda adalah sebuah program realiti anjuran Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan dan Konfederasi NGO Kelantan.
Ia bertujuan untuk melahirkan ikon dalam kalangan anak mud,a berketerampilan dalam pidato kontemporari yang menjadi sebahagian fenomena medan dakwah pada hari ini.
Mudir Madrasah Ekspresi Kalam, Ustaz Hafiz Mahmud menjelaskan bahawa juri berdepan dengan kesukaran juga untuk menentukan siapakah yang bakal beraksi di Pentas Akhir Eksperesi yang bakal berlangsung pada 25 Disember depan, di Perkarangan Stadium Sultan Mohamed Ke IV Kota Bharu.
“Namun keputusan yang disepakati oleh para juri profesional tetap muktmad dan diterima oleh PM yang telah dilatih selama sebulan bagi berdepan situasi seumpama ini.
“Mereka bukan sahaja mendapat pendedahan melalui Kuliah Ekspresi yang dikendali oleh para mua’llim tersohor, mereka juga setiap minggu mengikuti aktiviti lasak dan mencabar, ” katanya.
Sementara itu Farisfitiri Suhaimi, salah seorang perantara Pentas Ekspresi berkongsi rasa mengendali program ini, turut melahirkan perasaan berdebar setiap kali menunggu keputusan yang diumumkan oleh penganjur pada akhir program.
“Selama sebulan saya bersama mereka, saya hanya mampu menyembunyikan perasaan hiba apabila setiap minggu ada kalangan mereka yang tidak dapat meneruskan cabaran.
“Namun saya kagum dan menghargai sikap mereka yang terus beriltizam dengan akiriviti yang diatur oleh penganjur kepada mereka,” kata Faris.
Ekspresi Kalam menampilkan tiga perantara selain Faris iaitu Ustaz Jamal Najmudddin Sulaiman dan Nik Ahmad Akif Nik Arjun yang menampilkan pengacaraan yang santai dan juga menghiburkan.
Sementara itu, salah seorang Pemidato Muda, PM Faizat menzahirkan rasa bertuah kerana dapat menyertai program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan ini.
“Meski pun saya gagal pada minggu ketiga ini, saya tetap mengatakan bahwa medan dakwah saya tidak terhenti setakat ini, saya akan terus berada di medan dakwah,” ujarnya penuh semangat di atas pentas.
Pentas Ekspresi minggu ini lebih bermakna kerana ia turut dihadiri Senator Khairiah Mohamed yang turut berucap memberi kata-kata semangat kepada para Pemidato Muda. β HARAKAHDAILY 19/12/2016