Tindakan cabar hudud di mahkamah melampau

tech

KOTA BHARU – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan tindakan Gerakan memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 1993 (Pindaan 2015) atau hudud semalam, sebagai melampau.

Beliau berkata Pas akan berjuang habis-habisan bagi memastikan undang-undang hudud itu dapat dilaksanakan di Kelantan.

“Kita akan lawan, cuma saya tertanya-tanya apa tujuan Gerakan yang bersungguh-sungguh sebab usaha (bawa hudud) ini boleh ditolak dalam Parlimen.

“Kenapa Gerakan perlu failkan di mahkamah dan jadikan benda ini secara ‘legal’ (sah) sebab ia boleh ditolak dalam Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Pemuda Pas Kelantan, di sini, hari ini.

Mohd Amar, yang juga Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, berkata tindakan Gerakan itu hanya akan menyebabkan orang Islam di negara ini memandang serong terhadap parti itu.

“Itu bahaya kepada iklim politik di Malaysia, tidak setuju satu hal tapi bawa ke mahkamah ini satu benda yang serius,” katanya.

Semalam, Gerakan telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai hudud di bawah perlembagaan.

Timbalan Ketua Pemuda dan ketua pasukan perundangan Gerakan, Andy Yong Kim Seng, dilaporkan berkata notis usul dikemukakan di pusat sehenti Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kira-kira 11 pagi.

Dalam notis usul itu, Gerakan meminta Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada parti itu untuk membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan bagi membincangkan dan memutuskan persoalan undang-undang sama ada Dun Kelantan mempunyai bidang kuasa menggubal Kanun Jenayah Syariah II (Pindaan 2015).

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Baharu telah menolak saman pemula difailkan parti Gerakan terhadap kerajaan negeri Kelantan berhubung Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

Dun Kelantan pada 19 Mac lepas meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) setelah memperoleh undi sebulat suara daripada 44 anggota Dewan yang menghadiri persidangan.

— Bernama

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Isu TH: Golongan agama tidak boleh diam diri

SHAH ALAM – Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata sekiranya dakwaan yang mengatakan bahawa terdapat tiga pegawai kanan Tabung Haji (TH) yang terlibat secara langsung dengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) maka cara terbaik adalah mereka perlu diadili dan dibicarakan. Katanya jalan terbaik […]

Subscribe US Now