Tok Dalang main peranan sebar pengaruh Islam

KOTA BHARU – Peranan dimainkan Tok Dalang dalam persembahan wayang kulit mampu melebarkan pengaruh Islam termasuk mempelopori perubahan dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.

Pengurus Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan, Muhammad Dain Othman berkata, perubahan itu menuntut daya kreativiti dan usaha, selain perlu ada bimbingan daripada pihak berkaitan.

“Bagi saya, ciri-ciri dominan wayang kulit tradisional Kelantan apabila dipadankan dengan enakmen garis panduan sedia ada, ia tidak bercanggah.

“Masalah utama ialah apabila ada amalan Tok Dalang yang tidak tahu ilmu dan ciri ‘pendalangan’ wayang kulit tradisional itu sendiri. Orang yang tahu, mereka tidak akan melanggar format,” katanya pada Forum Wayang Kulit Dalam Perspektif Islam di Muzium Negeri Kelantan.

Panel lain yang terlibat ialah Datuk Dr Ghulam Sarwar Yousuf dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bekas pengarah Bahagian Jabatan Warisan negara, Siri Neng Buah dan Ketua Jabatan Al-Dakwah Wal Qiadah Kolej Islam Sultan Ismail Petra, Mohd Saiba Yaakob.

Muhammad Dain yang juga seorang Tok Dalang menasihatkan penggiat seni tersebut perlu meninggalkan perkara atau percakapan yang tidak perlu dan diragui.

“Seperti wayang kulit, kita ada asas ucap Tok Dalang yang akan dibacakan dalam banyak bahasa seperti Siam dan Jawa, jika tidak faham apa yang dikatakan, baik ditinggalkan sahaja.

“Wujud unsur yang diragui kerana kejahilan dan ketidakarifan Tok Dalang yang mendokong,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Dain turut menasihatkan kira-kira 14 kumpulan wayang kulit yang aktif di Kelantan memahami terlebih dahulu konsep atau ciri-ciri dominan persembahan.

Sementara itu, Mohd Saiba Yaakob berkata, wayang kulit bagi tujuan penyebaran maklumat, pendidikan dan dakwah sangat digalakkan.

Tambahnya, tiada halangan jika penggiat seni mengikuti garis panduan enakmen kawalan hiburan dasar kesenian dan kebudayaan negeri yang ditetapkan.

(Visited 52 times, 1 visits today)

Add Comment