Thursday, 23 March 2023
Menu

Tok Jogho dan tukang karut alunkan al-Quran

KOTA BHARU – Bukan sahaja hebat berdikir barat, tetapi usaha 10 pendikir dari Koperasi Dikir Barat Kelantan Berhad mengaji dan mendalami al-Quran boleh dipuji.

Pengerusinya, Datuk Dr Zulkepli Mohamad berkata, usaha tersebut dilaksanakan menerusi kelas mengaji taranum ahli koperasi terbabit sebagai usaha menghidupkan aura dalam diri penggiat seni mendampingi al-Quran.

“Kita tahu mereka ini hebat berdikir, suaranya sedap didengar menghiburkan pendengar dan tidak salah jika dimanfaatkan sekali dengan memperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran.

“Alhamdulillah, masing-masing ada kebolehan dan penguasaan di tahap tersendiri. Apa pun masing-masing boleh belajar untuk tingkatkan lagi bacaan,” katanya.

Terdahulu beliau menyertai kelas membaca mengaji yang diadakan di rumah Annuar Mohd Nor atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Nuar Bollywood, di sini.

Zulkepli berkata, program yang dilaksanakan itu mendapat sokongan kerajaan negeri menerusi Exconya, Datuk Md Anizam Abdul Rahman yang telah menghantar beberapa pendikir belajar mengaji.

Kelas yang diadakan sejak tiga bulan lalu setiap seminggu sekali itu dibimbing oleh Yahya Daud iaitu johan qari tilawah al-Quran peringkat kebangsaan pada tahun 1999.

Sementara itu, seorang peserta Annuar berkata, mengaji al-Quran dan berdikir adalah sesuatu yang amat berbeza baginya.

“Saya bersyukur koperasi sentiasa mengadakan program yang mendekatkan diri kita dengan pencipta-Nya. Ini satu pengalaman yang amat berguna yang perlu dipupuk di dalam diri untuk membaca al-Quran setiap hari.

“Saya pun sentiasa belajar untuk mempertingkatkan tahap bacaan untuk diri sendiri dan juga pertandingan antara ahli nanti,” katanya. [SINAR HARIAN]

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment