GAAL – Tokoh Mawadah Dun Gaal 2015 sedia berkongsi pengalaman untuk mendidik anak-anak bagi menjamin kesejahteraan keluarga.
Abdul Hadi Junoh, 65, berkata, ibu bapa mesti mengetahui atau mendalami masalah dihadapi anak-anak dan tidak membiarkan anak keseorangan dalam menghadapi apa sahaja cabaran.
Pesara Pembantu Am Rendah itu berkata, memberi didikan agama secukupnya merupakan asas kerana tanpanya, jati diri anak-anak tidak akan kuat.
“Ada keadaan yang memerlukan kita berkeras dengan anak-anak dan ada ketikanya kita perlu berlembut, kena bijak menangani perasaan mereka.
“Biralah kita menjadi pendengar yang baik, tempat anak-anak mengadu apa saja masalah dan sama-sama menyelesaikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Tokoh Mawadah Dun Gaal 2015 sempena sambutan Hari Keluarga Mawadah Dun Gaal 2015 di Dewan Utama Kompleks Sri Gaal di sini, semalam.
Program itu dihadiri 150 penghulu mukim, pegawai dan pembantu pegawai Halaqat, guru-guru al-Quran, peserta Ladang Rakyat bersama pasangan masing-masing dan masyarakat setempat.
Pada program itu, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti Kuliah Khas yang disampaikan penceramah bebas, Ustaz Abdul Aziz Hamzah, pertunjukan fesyen Muslimat kanak-kanak dan cabutan bertuah.
Abdul Hadi yang merupakan Imam Surau Kampung Telosan itu menerima anugerah daripada isteri Adun Gaal, Zuraida Zakaria.
Bapa kepada sembilan anak itu memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak sehingga lima anaknya kini berkhidmat sebagai guru, doktor, jurutera sementara dua lagi masih belajar.
Sementara itu, Ketua Urusan Muslimat Dun Gaal, Nik Marathiah Nik Man ketika merasmikan program itu berkata, setiap keluarga di kawasan Dun Gaal perlu mengambil contoh baik daripada keluarga Abdul Hadi.
Katanya, kejayaan sesebuah institusi kekeluargaan bergantung kepada peranan yang dimainkan ketua keluarga itu sendiri.
“Bimbingan, asuhan atau tunjuk ajar berasaskan nilai keagamaan lebih besar pengaruhnya. Sama-samalah kita perkukuhkan agama dalam keluarga,” katanya.
Menurutnya, sambutan Hari Keluarga Mawadah merupakan penghormatan atau penghargaan kepada seluruh keluarga yang sentiasa berusaha meningkatkan kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan.[SINAR HARIAN 16 DISEMBER 2015]