KUALA LUMPUR – Beberapa kesatuan sekerja mahu kerajaan mengadakan dialog bagi membincangkan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) membabitkan isu pekerja.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Mohamed Shafie BP Mammal berkata ini kerana maklumat mengenai TPP masih samar kerana tidak dikeluarkan dengan lengkap.
TPP mempunyai beberapa klausa yang akan memberi kesan kepada rakyat dan negara terutamanya kepada para pekerja, antaranya kemasukan pekerja asing, katanya kepada Bernama.
“Banyak isu pekerja tidak dinyatakan seperti gaji minimum, jumlah waktu bekerja, kemudahan dan hak wanita mengandung, perlindungan kesatuan sekerja dan sebagainya…ini semua sepatutnya dimasukkan dalam TPP,” katanya.
Beliau berkata penetapan standard buruh yang minimum perlu dilaksanakan dan diambil perhatian serius, selain isu perdagangan.
Mohamed Shafie berkata ia masih belum terlambat untuk kerajaan memastikan hak pekerja dilindungi dan ditambah baik berikutan perjanjian itu masih dalam proses perundangan dan mendapat kelulusan di setiap negara peserta TPP.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N. Gopal Kishnam pula mempersoalkan kenapa tiada perlindungan dan usaha untuk mempromosikan aktiviti yang dilakukan kesatuan sekerja dalam perjanjian itu.
“Apabila urus niaga perdagangan dipermudahkan di antara negara yang menandatangani TPP kenapa tidak memudahkan menubuhkan kesatuan sekerja?,” katanya.
Gopal mendakwa TPP seolah-olah mengurangkan peranan kesatuan sekerja kerana isu melibatkan perniagaan dan pelaburan lebih jelas berbanding isu buruh yang kurang lengkap.
“MTUC bimbang Malaysia mungkin terpaksa meminda hak-hak pekerja demi mengikut terma yang ditetapkan TPP, maka kerajaan harus bersikap tegas dengan tidak membenarkan syarikat asing meletakkan pelbagai peraturan yang menjejaskan golongan pekerja di Malaysia,” katanya. – Bernama