Tren Tumpat-KL beroperasi Jun ini

imageTUMPAT – Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Tumpat ke Kuala Lumpur (KL Sentral) akan memulakan operasi pada Jun ini.

Presiden KTMB, Datuk Sarbini Tijan berkata, perkhidmatan tren itu hanya akan beroperasi setiap hujung minggu kerana masih ada kerja naik taraf  infrastruktur dijalankan di seluruh rangkaian antara Gemas, Negeri Sembilan ke Tumpat.

“Hal ini disebabkan Pantai Timur hanya mempunyai satu landasan dan perlu beri ruang kepada kontraktor untuk menjalankan kerja naik taraf,” katanya selepas merasmikan program penutup latihan tahunan Kem SKN 4, 50 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di padang stesen KTMB Tumpat, semalam.

Menurut Sarbini, bagi perantau yang mahu pulang beraya, mereka boleh menggunakan perkhidmatan tren itu, namun operasi dihadkan pada hujung minggu sahaja.

“Tren ini lebih kepada konsep santai dan pelancongan, namun menjanjikan perjalanan yang menyeronokkan.

“Ia mampu memuatkan kira-kira 500 penumpang, tetapi tidak laju seperti biasa berikutan kerja pembaikan sedang dilakukan di seluruh rangkaian antara Gemas ke Tumpat,” katanya.

Sarbini berkata, kerja naik taraf infrastruktur itu melibatkan jambatan, landasan, stesen dan juga depoh, yang dijangka siap sepenuhnya pada 2019 iaitu dalam tempoh dua tahun setengah.

Menurutnya lagi, kos projek itu menelan belanja sebanyak RM1.2 bilion dan daripada jumlah itu, RM700 juta sudah digunakan untuk membaik pulih jambatan Kemubu yang dihanyutkan banjir pada penghujung 2014.

“Pantai Timur bukan sahaja bakal memiliki stesen dan landasan kereta api baru, tetapi juga 13 set tren Diesel Multiple Units (DMU) pada 2019 nanti,” katanya.

(Visited 14 times, 4 visits today)

Add Comment