KOTA BHARU: Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) hari ini membuat laporan polis terhadap Adun Salor, Datuk Husam Musa berkaitan kenyataannya yang mendakwa agensi itu membazir wang sebanyak RM300,000.
Laporan itu dibuat Pengarah YTK Ustaz Tuan Sharifuddin Tuan Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, di Pengkalan Chepa.
Beliau berkata, kenyataan fitnah Adun terbabit dianggap bertujuan memburuk imej YTK dan kerajaan negeri.
Katanya kenyataan Adun Salor yang disiar sebuah portal mendakwa kerajaan negeri melalui YTK membazirkan wang kerana kecuaian membina tugu banjir di atas tnah milik persendirian di Kuala Krai.
“Kita dapati kenyataan Adun Salor itu tidak benar. Sebagai orang yang bertanggungjawab di YTK, saya membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan tersebut.
Portal Malaysia Dateline pada 25 Januari lalu menyiarkan kenyataan Adun Salor bertajuk ‘Tugu banjir: Kelantan bazirkan RM300,000 wang Yayasan Amanah Tok Kenali’.
Tuan Sharifuddin berkata beliau menyerah kepada pihak polis menyiasat perkara itu secara terperinci kerana YTK tidak terlibat dengan pembinaan tugu banjir. – HARAKAHDAILY 6/2/2017