TUJUH TIPS RUTIN RAMADAN MUSIM PKP

oleh Wan Nor Ainon Wan Abdullah
*Penulis bebas

Alhamdulillah, kita masih lagi berpeluang menghirup udara Ramadan bagi tahun 1441. Semoga kita semua dapat menjalani Ramadan di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan tenang dan tetap meyakini bahawa Allah SWT sekali-kali tidak akan mengurangi pahala kebajikan yang kita lakukan meskipun dalam sebarang situasi.

Allah SWT menyatakan melalui ayat 115 Surah Hud,
وَٱصْبِرْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُحْسِنِينَ
Dan sabarlah, kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

Berikut ialah tujuh tips rutin paling ringkas sepanjang Ramadan dalam tempoh PKP:

1. Solat terawih berjemaah bersama ahli keluarga setiap malam. Imam baca surah ikut kemampuan. Boleh juga beli Al-Quran bersaiz besar secara atas talian (maya) atau online dan letak di hadapan untuk bacaan surah-surah panjang.

Andai solat terawih berjemaah di masjid kita mengharapkan pahala kerana menurut sunah Nabi SAW, maka solat terawih berjemaah bersama ahli keluarga atau secara bersendirian (bagi individu yang tinggal bersendirian) kerana patuh kepada sistem kuarantin juga adalah sunah Nabi SAW.

Inilah sebahagian keindahan ajaran Islam yang bersifat anjal dalam isu-isu fiqah semasa. Berubah hukum beramal dengan sesuatu perkara kerana berubahnya situasi menurut piawaian syarak.

2. Lazimi membaca Al-Quran sekurang-kurangnya satu juzuk setiap hari bagi lelaki supaya mencapai target khatam Quran sepanjang Ramadan. Sempena PKP, lebih banyak masa bertilawah al-Quran.

Bagi perempuan yang masih alami haid, disarankan membaca lebih dari sejuzuk sehari bergantung kepada jumlah hari kebiasaan datang haid dalam sebulan. Contohnya, jika tempoh haid 15 hari sebulan, maka pujuklah diri membaca sekurang-kurangnya dua juzuk sehari.

3. Mujurlah Allah SWT memberi ujian PKP ini pada saat kita ada kemudahan perbankan atas talian. Jadi boleh terus bersedekah setiap hari secara transaksi maya. Simpan semua iklan derma. Kalau ada 30 iklan, maka sudah boleh menderma setiap hari sepanjang Ramadan.

Jika tidak menggunakan kemudahan perbankan maya, sediakan tabung Ramadan di rumah. Masukkan sedekah setiap hari.

Sedekah itu boleh diwakilkan melalui imam atau penghulu kawasan masing-masing kerana mereka biasanya memiliki senarai anak mukim yang layak menerima zakat melalui imam atau penghulu kawasan masing-masing kerana mereka biasanya tahu senarai anak mukim yang berstatus asnaf.

Paling utama ialah hulurkan dahulu bantuan kepada keluarga terdekat dan jiran yang di dalam kesusahan. Ramai yang beroleh pendapatan secara harian tidak dapat bekerja dan sumber kewangan terjejas pada saat ini.

4. Jamuan berbuka puasa (iftar) masih boleh dilakukan dengan menghulur wang terutama kepada mereka yang berkesempitan di musim PKP ini.

Jika kita bergembira ketika berbuka dengan makanan lazat dan enak, kegembiraan itu akan bertambah apabila orang lain juga dapat berbuka dengan juadah kegemaran mereka disebabkan sedekah kita tadi.

“Barang siapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu”
(Hadis riwayat Nasa’i dan Tirmidzi)

5. Kuliah online terlalu banyak boleh diikuti dalam pelbagai bahasa yang kita mahir sama ada secara langsung (live) atau rakaman. Manfaatkan Ramadan dalam musim PKP dengan menambah ilmu pengetahuan.

Sekiranya tidak faham, cuba hubungi pengkuliah itu sendiri untuk bertanya. Ramai pengkuliah di zaman sekarang ada akaun medsos yang memudahkan kita menghantar mesej peribadi (pm) dan sebagainya.

6. Tingkatkan doa dan munajat kepada Allah SWT.

Untungnya kita sebagai umat Islam lalui PKP dalam bulan Ramadan kerana Nabi SAW pernah berkata,

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. (Hadis riwayat Ibn Majah)

Justeru itu, saat inilah kita dapat mengadu sepenuh jiwa raga kepada Allah SWT segala rasa susah, sedih, sakit dan lain-lain serta memohon kepadaNya didatangkan solusi sesuai dengan keperluan.

Doa yang disarankan untuk diamalkan sebanyak-banyaknya, terutama pada 10 malam terakhir Ramadan ialah;
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau Mengasihi untuk Mengampun, maka ampunilah diriku.”

7. Menghidupkan 2/3 malam.

Walaupun kita tidak dapat keluar malam, namun malaikat tidak terikat dengan PKP untuk datang mencatat pahala bagi segala amalan baik yang dilakukan.

Allah sedang buka peluang kita memburu lailatul qadar tanpa rasa penat dan letih kerana tidak lagi sibuk bekerja di siang hari.

Kita tidak tahu adakah masih berkesempatan mendapat cuti panjang seperti ini lagi dalam hayat kita.

Imam Bukhari merekodkan hadis ‘Aisyah RA yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain sarungnya dan mengejutkan ahli keluarga untuk turut menghidupkan malam.

#UPKtipsRamadan1441H

Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2663875147180169

(Visited 42 times, 1 visits today)

Add Comment