PASIR MAS – Lawatan kerja ke setiap jajahan yang dimulakan sejak tahun lalu, menjadi platform kepada kerajaan negeri untuk menerangkan dasar-dasar kepada rakyat secara terus dan telus.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, penerangan itu membolehkan rakyat negeri ini mendapatkan maklumat dengan lebih tepat dari sumber yang betul serta sahih.
“Alhamdulillah sejak diperkenalkan tahun lalu, rakyat sudah mula memahami dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Sebagai contoh di Gua Musang berkaitan dengan premium tanah, apabila kita menerangkan dasar kerajaan negeri dalam isu berkenaan baharulah mereka faham dan menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah dan Bantuan Sosial Peringkat Jajahan Pasir Mas di sini.
Turut hadir, Adun Pengkalan Pasir, Datuk Hanifa Ahmad dan Ketua Jajahan, Dr Che Hamat Che Muda.
Mohd Amar berkata, melalui program itu juga kerajaan negeri dapat mengumpulkan maklumat berkaitan dengan masalah dihadapi rakyat di jajahan berkenaan.
“Bila kerajaan negeri turun padang, kita dapat kumpulkan maklumat secara terus daripada rakyat. Secara tidak langsung kerajaan negeri boleh berusaha untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat,” katanya.
Antara jajahan yang sudah terlibat dengan program ini Tumpat, Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah dan Pasir Mas.[SINAR HARIAN 2 DISEMBER 2015]