Ubah persepsi anak muda

webmaster

MACHANG – Pelaksanaan Projek Pembangunan Tanah Anak Muda Kelantan di Kampung Wek berjaya mengubah persepsi anak muda setempat, sekali gus memupuk minat mereka untuk menjadikan bidang pertanian sebagai sumber pendapatan sampingan.

Projek tanaman rockmelon menggunakan teknologi moden itu melibatkan enam anak muda dengan dibantu seorang mentor yang berpengalaman luas dalam bidang tersebut.

Peserta, Mohd Firdaus Radzulan, 26, berkata, sebelum ini dia menganggap bidang pertanian sebagai kerja yang remeh, kotor dan memenatkan, namun pandangannya itu berubah selepas menyertai projek tersebut.

Katanya, tunjuk ajar mentor dan jabatan terlibat banyak membantu menjayakan projek tanaman rockmelon itu yang dimulakan pada Januari lalu.

“Saya nekad, walaupun pada mulanya saya bimbang jika tidak dapat dilaksanakan sebaik mungkin atau mungkin projek saya ini tidak membuahkan hasil. Alhamdulillah, kami semua berjaya.

“Kita mesti cekal dan rajin. Sekalipun menggunakan teknologi fertigasi, namun kita tidak boleh mengabaikan tanaman dan perlu meluangkan masa di kebun setiap hari,” katanya pada majlis tuaian disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Abdul Fattah Mahmood; Adun Kemuning, Mohd Roseli Ismail serta Ketua Jajahan Machang, Mohd Zainudin Mohamad.

Projek berkonsepkan pertanian moden tanpa tanah dengan sistem pengairan secara automatik dan diusahakan di bawah Bangsal Struktur Pelindung Hujan itu dikelolakan Abdul Fattah, manakala Pejabat Tanah Jajahan Machang dan Pejabat Pertanian Machang sebagai agensi pelaksana serta pemantau projek.

Menurut Mohd Firdaus lagi, dia meluangkan sekurang-kurangnya enam jam sehari bagi memastikan tanamannya dalam keadaan baik.

Katanya, dengan menggunakan kaedah pertanian tersebut, dia boleh melakukan dua kerja dalam satu masa.

“Orang ramai mula buka mata. Ramai rakan mula menunjukkan minat, malah tuan tanah yang memiliki tanah terbiar turut menawarkan tanah mereka untuk mengusahakan projek tersebut.

“Saya lihat projek ini sebagai sesuatu yang positif dan berharap ia dapat dikembangkan lagi pada masa akan datang,” katanya.[SINAR HARIAN]

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

"Bersedia Benarkan Buka Pawagam Di Kelantan Tapi Wajib Patuhi Syariah" - Kerajaan Negeri

KOTA BHARU: Walaupun Kerajaan Negeri Kelantan Bersedia untuk membenarkan mana-mana syarikat untuk mewujudkan pawagam di Negeri itu, tetapi mereka tetap menegaskan tidak akan berkompromi dalam aspek-aspek Islamik. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkatan, pihak penyedia pawagam perlu berfikir untuk mencari jalan dengan […]

Subscribe US Now