UMMAH gesa kerajaan bubar SUHAKAM

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menempelak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang berkeras akan terus menasihati kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD).

Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahya berkata, tindakan SUHAKAM itu adalah tidak rasional setelah setengah juta rakyat menzahirkan penolakan ICERD melalui Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

“Sifat keras kepala dan niatnya yang bagi saya jahat dan sombong menyebabkan mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian, walaupun dalam perjumpaan SUHAKAM baru-baru ini kita difahamkan hanya 200 orang (hadir) dalam perjumpaannya,” ujar beliau.

Aminuddin berkata demikian kepada media selepas selesai memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, petang tadi berhubung laporan terdapat peserta melanggar Akta Himpunan Aman kerana membawa kanak-kanak.

Ujarnya, berikutan tindakan angkuh SUHAKAM itu mengharuskan kerajaan menilai semula berkenaan peranan pertubuhan tersebut.

“Kemungkinan perlu SUHAKAM ini dibubarkan. Apa makna SUHAKAM kalau niatnya untuk mengkucar-kacirkan negara, bertentangan dengan Perlembagaan.

“Adakah kita ini nak ikut Barat ataupun kita nak pastikan SUHAKAM ini sebenarnya memastikan kelestarian negara kita?

“Kalau SUHAKAM nak porak-perandakan kita punya Perlembagaan dan struktur masyarakat lebih baik kita tutup sahaja SUHAKAM ini,” gesanya.

Beliau yang juga penganjur program himpunan Sabtu lalu mahu rakyat menilai siapa sebenarnya mahukan keamanan dan kebaikan untuk negara kerana masih terdapat badan berkepentingan tertentu merupakan proksi kepada Barat.

“Begitu juga ada parti politik yang membuat deklarasi di APC yang mengatakan sokongannya kepada ICERD ini, juga bagi saya satu sifat angkuh yang tidak sedar dan tidak faham kehendak rakyat,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 10/12/2018

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/9056-ummah-gesa-kerajaan-bubar-suhakam

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment