Undang-undang kawal gejala sosial di Kelantan

KOTA BHARU: Kelantan mencadang transfomasi undang-undang kecil di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengawal gejala sosial kalangan anak-anak muda.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri mencadang kajian khusus dilakukan untuk meminda Undang-Undang Kecil Taman Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) 1986.

Katanya, pindaan itu dilakukan bagi menangani masalah anak muda yang berkeliaran di kawasan taman khususnya pada waktu Maghrib.

“Walau pun gejala sosial di negeri ini tidak membimbangkan, namun usaha perlu dibuat agar ia dapat dibendung lebih awal,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya cadangan itu selaras dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Islam (JPI) di peringkat PBT di seluruh majlis daerah tahun ini.

Sedangkan sebelum ini JPI hanya ada di MPKB-BRI sahaja, tetapi mulai tahun ini ia diperluaskan ke seluruh PBT di Kelantan.

Menteri Besar berkata JPI diharap dapat membuat kajian berkaitan undang-undang kecil tersebut bagi menangani gejala anak muda melepak di waktu Maghrib.

“Hasrat kerajaan negeri supaya dengan undang-undang itu dapat mengawal anak-anak muda yang masih bebas berkeliaran khasnya di kawasan taman atau di tepi pantai.

“Membonceng motosikal bukan dengan muhrim sering berlaku, ini yang kita nak kawal.

“Trend sekarang  mereka  suka membonceng, bebas ke sana ke mari dan ini amat tidak baik khususnya dalam agama kita,” ujarnya. –HARAKAHDAILY 2/3/2016

(Visited 13 times, 4 visits today)

Add Comment