UPKN, AKSB SELARAS HEBAH BERITA TEPAT TENTANG SELENGGARAAN BEKALAN AIR

oleh Norzana Razaly

KOTA BHARU – Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) dan Unit Komunikasi Korporat Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) telah bermesyuarat mengenai teknik penyelarasan hebahan berita secara efisyen tentang gerak kerja penyelenggaraan dan penyaluran bekalan air kepada rakyat Kelantan pada pukul 2.30 petang tadi di Wisma AKSB, dekat sini.

Perbincangan tersebut dibuat ekoran pelbagai isu negatif muncul dan tular akibat penyebaran dan penerimaan informasi kurang tepat daripada sumber bukan berkenaan sehingga mencetus kekeliruan kepada masyarakat tempatan dan di luar Kelantan.

Keputusan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Latihan, Mat Noor Awang berjaya mencapai kata sepakat bahawa UPKN bersedia pada bila-bila masa mengikut keperluan dan kewajaran untuk menghantar wartawan bagi mengikuti setiap kerja-kerja penyelenggaraan paip dan tangki atau pembekalan air di kawasan terlibat.

Mat Noor memaklumkan, rakyat perlu tahu keadaan sebenar gerak kerja AKSB yang sentiasa bersedia dan komited serta bersegera membaikpulih dan membekal air kepada rakyat apabila menerima aduan terutama pada musim perayaan.

“Pihak kita berkerja keras demi kepentingan pelanggan tanpa mengira masa sebaik sahaja menerima aduan, walaupun pada pagi hari raya pertama”, katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah UPKN, Nazman Che Ibrahim menyatakan memang tanggungjawab UPKN selaku media rasmi kerajaan negeri Kelantan untuk mewartakan berita sebenar kepada umum.

“Sewajarnya rakyat perlu didedahkan dengan informasi yang tepat dan sahih daripada pihak berwajib seperti UPKN mengenai kebertanggungjawaban agensi kerajaan negeri di dalam pelaksanaan gerak kerja dan kepantasan khidmat menangani permasalahan rakyat”, ujarnya.

Pada pertemuan itu juga, pihak Unit Komunikasi Korporat AKSB juga dengan sukacitanya menjemput pihak UPKN dan rakan-rakan media lain untuk meninjau gerak kerja pembaikian Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Chap, Bachok pada hari Rabu, 15 Julai ini.

Rakan-rakan media yang ingin turut sama menaiki kenderaan AKSB, diminta untuk memaklumkan lebih awal kepada Penyelaras Perhubungan Khas, Unit Komunikasi Korporat AKSB, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya di talian Whatsapps 0177653421.

Tempat berkumpul ialah di Wisma AKSB pada pukul 8.15 pagi.

(Visited 8 times, 1 visits today)

Add Comment