KOTA BHARU: Mengambil kira kemerosotan pencapaian pelajar dalam peperiksaan UPSR tahun ini, Yayasan Islam Kelantan (Yik) memberi kelonggaran bagi memasuki tingkatan satu sekolah kawalan.
Pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya 3A 3B boleh memohon memasuki tingkatan di sekolah kawalan tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas dua hari lalu untuk pengambilan pelajar baharu 2017.
“Ekoran keputusan UPSR 2016 yang tidak memberangsangkan di peringkat negeri dan kebangsaan, perbincangan diadakan bersama pengurusan Yik.“Kita bersetuju menerima permohonan pelajar baru untuk belajar di Maahad Kawalan termasuk Maahad Sains Tok Guru sekurang-kurangnya memperolehi 3A 3B dalam UPSR 2016 baru-baru ini,” katanya di sini.
Bagaimanapun kata beliau untuk memasuki maahad pilihan termasuk Maahad Pengajian Islam (MPI) dan Maahad Pasir Pekan terserah kepada sekolah menentukan tanda arasnya.
Dr Fadzli juga berkata Maahad Sains Tok Guru bakal beroperasi awal Januari 2017 yang dikhaskan untuk pelajar lelaki.
Borang permohonan untuk memasuki maahad kawalan untuk didownloadkan di http://www.yik.edu.my/koleksi/Hal_Ehwal_Murid/TG1_2017/borang-permohonan-kemasukan-tg1-maahad-kawalan-2017.pdf – HARAKAHDAILY 21/11/2016