KOTA BHARU: Rakyat Kelantan diminta mempertahankan kerajaan yang dibina atas landasan agama oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Usaha berkenaan kini diteruskan dan dikekalkan pengantinya, Ustaz Datuk Ahmad Yakob bahkan beliau menambah baik apa yang dirancang sebelum ini.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menyampaikan ceramah di Medan Ilmu di sini semalam mengakui setiap perancangan manusia ada kelemahan.
“Kalau ada kelemahan, kita kena tolong dan pakat-pakat baiki, kelemahan ini memang ada sebab kita manusia. Bukan pakat-pakat tolong meruntuhkan.
“Kita bukan hendak buka kemungkaran, tetapi tolong baiki biar kemungkaran bertukar kepada kebaikan dan tidaklah sampai runtuh,” kata beliau.
Beliau turut menasihati rakyat Kelantan agar jangan terpengaruh dengan maklumat yang disebarkan menerusi media sosial kerana tidak mengetahui status kebenaran.
Menurutnya, zaman ledakan tenologi maklumat, ahli PAS khasnya perlu meneliti lebih mendalam sebelum menyebarkan kepada pihak lain kerana dibimbangi fitnah.
Tambahnya lagi, orang Islam mempunyai kepercayaannya sendiri iaitu kehidupan bukan hanya di dunia sahaja, bahkan segala perbuatan dibalas di akhirat.
“Buatlah apa sahaja, tetapi ingat, biarlah ia boleh menolong kita sampai di akhirat, kita berniaga ke, kita mengundi ke apa sahaja, tetapi ingat.
“Inilah yang hendak kita (PAS) bawa, tidak lain dan tidak bukan hendak tengok Islam didaulatkan bukan sahaja di Kelantan, di Malaysia juga,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, sejak belakangan ini perjuangan Islam yang dibawa PAS sering ditentang dan ditohmah dengan pelbagai tuduhan buruk.
Jelas beliau, ia merupakan petanda bahawa sokongan terhadap perjuangan Islam khususnya di Malaysia semakin kuat ketika ia ditentang di pelbagai sudut.
“Hari ini kita berada di waktu Islam mula naik contohnya apabila kita bawa perjuangan Islam, orang lawan itu tandanya Islam tengah naik untuk berjaya.
“Pergaduhan yang berlaku dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini pun merupakan satu tanda. Hak bengkok ni kita bimbang,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 5/11/2016