KUALA KRAI – Keputusan D bagi mata pelajaran Matematik pada peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membakar semangat pelajar SPM sekolah Menengah Ugama Arab Darus Salam, Rawiah Hasbullah, 18, untuk belajar bersungguh-sungguh.
Anak bongsu daripada sembilan beradik ini membuktikan, usaha gigih membolehkan dia memperoleh keputusan A-, pada keputusan SPM lalu.
Rawiah berkata, dia menggunakan sepenuhnya masa yang ada sebelum menduduki SPM untuk belajar.
Menurutnya, fokusnya hanya pada mata pelajaran kerana dengan keputusan cemerlang sahaja dapat merealisasikan hasratnya menjadi pendidik.
Katanya, bagi mengelak dirinya leka dengan perkara lain, dia tidak menggunakan telefon bimbit selama dua bulan sebelum SPM.
“WhatsApp, Facebook dan pelbagai lagi membuatkan saya leka.
“Saya bersyukur, selepas bertungkus-lumus dengan bantuan guru dan tutor, akhirnya saya memperoleh keputusan cemerlang,” katanya selepas Program Motivasi Keibubapaan dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2015 di SMUA Darus Salam, kelmarin.
Pada majlis itu, dia menerima sebuah komputer riba hadiah kecemerlangannya pada SPM 2015 dengan memperoleh keputusan 7A2B.
Rawiah berkata, dia bersyukur, tutor dari sebuah universiti yang datang ke sekolahnya untuk membantu pelajar sekolahnya menjelang peperiksaan SPM, banyak membantunya.
“Saya gunakan sepenuhnya ruang yang ada untuk belajar. Adakalanya sampai jam 3 pagi saya belajar dengan tutor terutama bagi subjek Matematik. Alhamdulillah usaha itu akhirnya membuahkan kejayaan.
“Walaupun tidak cemerlang bagi subjek Matematik pada percubaan SPM, tapi usaha dengan kerjasama guru dan semua pihak membolehkan saya berjaya. Moralnya, jika gagal pada peperiksaan percubaan, kita masih ada harapan untuk berjaya,” katanya.
Pelajar terbaik SPM 2015 sekolah ini juga meluahkan rasa syukur dihadiahkan komputer riba kerana dapat digunakan untuk melanjutkan pengajian kelak.
Turut hadir pada program ini, Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah yang merasmikan program serta turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada sekolah, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Mudir, Wan Salleh Wan Yusoff.