USAHAWAN KELANTAN TERIMA BANTUAN NIAGA PKINK

webmaster

oleh Che Maziah Mat

KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) terus komited dalam melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) terutamanya membantu peniaga kecil dan sederhana meneruskan serta meningkatkan perniagaan mereka serta menyokong pertumbuhan ekonomi semasa.

Bantuan itu membabitkan peralatan dan keperluan perniagaan seperti peti sejuk beku, mesin jahit, peralatan fertigasi dan lain-lain peralatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Encik Ab Aziz Yunus berkata, sejak sekian lama, PKINK melaksanakan pelbagai program CSR menerusi Projek Rangsangan Ekonomi PKINK termasuk membantu peniaga kecil dan sederhana menstruktur semula perniagaan mereka yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Jelas beliau, Projek Rangsangan Ekonomi PKINK ini sejajar dengan saranan Kerajaan Negeri supaya syarikat milik kerajaan (GLC) membantu mengupayakan taraf hidup rakyat agar menikmati kehidupan lebih selesa.

“Kita akan dapatkan mereka (usahawan) yang betul-betul mahu berniaga kerana kita mahu mereka menjana pendapatan yang lebih dan sekaligus dapat keluar dari kepompong kemiskinan.

Bantuan ini tidak akan disalurkan dalam bentuk kewangan bagi mengelak penyalahgunaan dana, sebaliknya akan diberi dalam bentuk peralatan selain pemasaran dan promosi agar produk mereka dapat dikenali di serata dunia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Sumbangan CSR Kepada Usahawan PKINK di Bilik Operasi PKINK, Bangunan PKINK di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Ab Aziz menyampaikan sumbangan berupa peralatan perniagaan kepada 10 penerima yang terdiri daripada usahawan bimbingan PKINK dan peniaga kecil dan sederhana seluruh Kelantan.

Hadir sama, Pengurus Bahagian Usahawan, IKS dan Perhubungan Antarabangsa Kumpulan PKINK, Tuan Muhammad Faizal Tuan Sulaiman.

Seorang usahawan tani, Muhammad Zaim Yusoff, 27, berkata, peralatan yang diterimanya amat membantu mengusahakan tanaman lada secara fertigasi.

“Saya mengusahakan tanah seluas empat ekar dan jumlah keseluruhan tanaman sebanyak 8,000 batang pokok lada.

Peralatan ini dapat memudahkan kerja-kerja di ladang selain tidak memerlukan pekerja yang ramai”.

Seorang lagi usahawan, Ku Badriah Ku Nawi, 30, mengucapkan terima kasih kepada PKINK yang menyumbangkan peti sejuk domestik bernilai RM5,000.00.

“Selepas terima bantuan, diharapkan dapat mengembangkan lagi perniagaan saya.

Sebelum ini kelengkapan saya untuk berniaga tidak seberapa tapi memadai untuk saya memulakan perniagaan saya secara kecil-kecilan,” ujarnya.- UPKN KELANTAN 8/3/2021

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

PEMANDU KERETA SEWA TERIMA BANTUAN KHAS KERAJAAN NEGERI

oleh Nik Azman Nik Mustafa BACHOK – Seramai 80 orang pemandu kereta sewa menerima bantuan daripada kerajaan negeri pada Majlis Bantuan Khas Kerajaan Negeri Untuk Pemandu Kereta Sewa Yang Terjejas Kesan Pandemik Covid-19 di sini hari ini. Bantuan disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, YB Ustaz […]

Subscribe US Now