KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menggesa semua usahawan yang menjalankan perniagaan online supaya segera mendaftarkan bisnes mereka dengan suruhanjaya itu bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.
Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Zahrah Abd. Wahab Fenner berkata, gesaan itu dibuat berikutan pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung penipuan yang dilakukan oleh sesetengah peniaga yang menjalankan perniagaan menerusi medium berkenaan.
“Antara kes yang diterima termasuk pelanggan yang telah membuat sejumlah bayaran tidak menerima barang yang mereka pesan dan peniaga berkenaan pula gagal dihubungi.
“Lebih teruk lagi apabila peniaga itu tidak memberikan nombor siri penghantaran ketika urusan pembelian dibuat menyebabkan pelanggan sukar untuk mengesan di mana barang mereka berada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis prapelancaran program SSM-ONE 2015 di bangunan Ibu Pejabat SSM di sini semalam.
Hadir sama Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Pembangunan Wanita Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Maslinda Haron; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) SSM, Khuzairi Yahaya; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan) SSM, Rosli Ahmad dan Pengarah Kanan Penguatkuasaan SSM, Abdul Rasid Sudin.
Program SSM-ONE atau Online Networking Entrepreneurs dengan kerjasama KPWKM itu akan dijalankan selama dua hari pada 4 dan 5 Jun ini di pusat beli -belah D’Curve, Damansara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek bakal merasmikan program berkenaan manakala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pula dijangka merasmikan program Sepetang di ONE 2015 pada hari pertama.
Zahrah memberitahu, berdasarkan rekod pendaftaran SSM, sehingga kini, sebanyak 22,731 perniagaan pelbagai jenis dijalankan menerusi online.
“Kita percaya masih ramai usahawan yang menjalankan perniagaan online, namun mereka belum membuat pendaftaran dengan pihak kami,” ujarnya.
Program SSM-ONE bertujuan memberi penerangan kepada golongan usahawan tentang kepentingan mendaftarkan perniagaan dan menubuhkan syarikat selain meningkatkan pendaftaran perniagaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program SSM-ONE, sila layari laman web www.1-ssm.com.