Nilai transaksi UTC Kelantan cecah RM33.5 juta

editor4

KOTA BHARU – Nilai transaksi urusan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kelantan mencecah RM33.5 juta sejak memulakan operasi Oktober tahun lepas.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perangkaan itu menunjukkan kewujudan UTC di negeri ini di Plaza Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan berada di landasan yang betul sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Kutipan transaksi ini pula pastinya akan dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai kerangka yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian UTC Kelantan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

Ahmad berkata, dengan kemudahan pelbagai perkhidmatan yang disediakan di UTC, ia akan menjimatkan masa, wang dan tenaga komuniti bandar di negeri ini untuk menyelesaikan urusan dalam satu bangunan.

“Saya mewakili kepimpinan dan rakyat negeri Kelantan mengucapkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri kerana telah mewujudkan UTC di negeri ini yang akan memberi manfaat kepada rakyat. Terima kasih di atas keperihatinan ini,” katanya.

Beliau berkata, operasi UTC yang bernilai RM37.8 juta itu diuruskan sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Ahmad turut mengingatkan penjawat awam di negeri ini supaya tidak menggunakan waktu pejabat sahaja untuk menyelesaikan urusan rasmi di UTC kerana pusat itu beroperasi sehingga pukul 10 malam setiap hari.

Dalam pada itu, beliau turut meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk menaik taraf tempat letak kereta di hadapan bangunan UTC itu bagi melancarkan urusan rakyat.

Terdapat 12 agensi persekutuan, sembilan agensi negeri, enam badan berkanun dan 14 syarikat swasta beroperasi di UTC Kelantan selain ruang niaga khas kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS). – Bernama

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Pihak halang Zakir Naik tidak hormat perlembagaan

USAHA segelintir kecil individu yang cuba menghalang aktiviti dakwah Islam dengan menuntut perintah penangkapan dan pengusiran pendakwah terkenal Dr Zakir Naik adalah amat mengecewakan, demikian menurut Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaary. Katanya yang tidak menolak kelompok ini juga sebahagiannya turut terlibat dalam aktiviti himpunan menentang RUU355 baru baru ini. […]

Subscribe US Now