Wakil rakyat, NGO bantu mangsa banjir

KOTA BHARU: Wakil rakyat PAS membantu penduduk yang tidak mahu berpindah kerana mahu menjaga keselamatan rumah dan barangan berharga yang lain gara-gara banjir kali kedua di Kelantan.

Walaupun sehingga kini seramai 10,626 mangsa banjir dipindah ke pusat pemindahan seluruh negeri ini tetapi masih ada lagi penduduk yang gagal mengikut arahan pihak berkuasa.

Justeru, usaha wakil rakyat bersama penghulu serta badan bukan kerajaan (NGO) yang berusaha mengenal pasti mangsa terlibat harus dipuji.

Seramai lebih kurang 93 penduduk yang tidak berpindah di Pasir Puteh mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gaal, Tuan Mazlan Tuan Ismail.

Pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil termasuk Perakan dan beberapa badan lain.

“Lebih kurang 200 orang menerima sumbangan ini, daripada jumlah ini 93 tidak mahu berpindah kerana mahu jaga rumah dan harta benda lain.

“Tetapi semua kita beri sebab kita tahu kediaman mereka ditenggelami air dan juga mereka hidup dalam kesusahan,” katanya ketika dihubungi tadi.

Manakala bagi Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir, beliau mengambil masa tiga hari meninjau nasib serta menyelami keselamatan penduduk dalam kawasannya.

Antara kampung yang dilawati ialah Kampung Lubuk Kuin, Kampung Pelunggur, Alor Bakat, Kampung Mahligai, Kampung Pak Badol, Kampung Gunong dan Kampung Keting.

Disertakan sekali dalam tinjauan itu ialah bahan makan seperti beras, biskut, roti serta makanan kering lain untuk diserahkan kepada penduduk yang terlibat.

Inisiatif sama turut dilakukan oleh Adun Pasir Tumboh, Ustaz Abdul Rahman Yunus bagi membantu penduduk yang terperangkap dengan banjir terutamanya di Kampung Pasir Hor dan beberapa kawasan lain.

Lebih kurang lima buah rumah terputus hubungan selepas halaman kediaman mereka dinaiki air yang melimpah dari Sungai Lundang berhampiran Jambatan Jalan Tengku Muhammad dekat sini.

Selepas tiga hari terputus bekalan, akhirnya nasib penduduk terlibat mendapat perhatian wakil rakyat apabila mereka datang menghulurkan bantuan makanan dengan menaiki bot. – HARAKAHDAILY 22/1/2017

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment