
oleh Norzana Razaly
TANAH MERAH – Kerajaan Negeri Kelantan amat prihatin terhadap kebajikan rakyat di segenap peringkat dan sentiasa memberi ruang kepada rakyat berpendapatan sederhana di negeri ini untuk memiliki rumah sendiri.
Hal ini terbukti apabila sepuluh pemilik telah menerima kunci kediaman masing-masing.
Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Negeri Kelantan (RMMK) di Taman Wadi Iman, Pasir Genda, Tanah Merah Kelantan pagi tadi telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB. Dr. Haji Izani bin Husin.
Beliau mengucapkan tahniah kepada penerima yang terpilih untuk memiliki rumah RMMK.
Menurut beliau, ramai yang memohon namun tidak berjaya mendapat kelulusan pembiayaan bank kerana dokumentasi kewangan tidak lengkap.
“Pentingnya menyimpan rekod transaksi dan dokumentasi yang baik untuk melayakkan kelulusan pembiayaan pinjaman”, katanya.
Beliau turut berpesan supaya para pemilik rumah menjadi penghuni yang baik dengan saling bermuafakat sesama masyarakat untuk menjaga kebersihan dan keceriaan persekitaran kejiranan.
Taman perumahan tersebut mempunyai 64 buah rumah berharga RM65,000.00 seunit lengkap dengan kemudahan surau, dewan serbaguna dan kiosk perniagaan.- UPKN KELANTAN 7/12/2020