WASPADA PADA MUSIM TENGKUJUH

Kenyataan Media
YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan
Menteri Besar Kelantan

WASPADA PADA MUSIM TENGKUJUH

1. Laporan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi pada 1 Disember 2019, Jam 1045 pagi menunjukkan hampir seluruh di negeri Kelantan akan mengalami tahap hujan diperingkat Bahaya (Merah) sehingga 2 Disember 2019.

2. Sehingga kini jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka adalah sebanyak 32 buah melibatkan seramai 1,440 mangsa daripada 380 keluarga diseluruh negeri Kelantan.

3. Seluruh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) setiap jajahan dan Pengkalan Hadapan sudah berada keadaan siap sedia dengan kerjasama bersepadu pasukan-pasukan keselamatan termasuk pasukan sukarelawan terutama di kawasan – kawasan berisiko tinggi untuk memastikan proses pemindahan dan agihan bantuan banjir berjalan lancar .

4. Sehubungan itu, melihat kepada keadaan cuaca dan hujan yang sentiasa turun dalam seminggu ini dan aliran peningkatan air sungai-sungai utama, saya berpesan kepada seluruh rakyat Negeri Kelantan agar bersedia dan berwaspada bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan melanda terutamanya mereka yang terlibat dengan kawasan berisiko banjir. Semangat saling mengambil berat dan bergotong royong amatlah dititik beratkan untuk menghadapi ujian ini.

5. Saya berharap, seluruh rakyat tidak mengambil mudah terhadap setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah. Apabila arahan berpindah dikeluarkan, hendaklah semua pihak mengambil langkah segera untuk berpindah dan hendaklah dilaksanakan sebelum waktu maghrib. Ini bagi mengelakkan sebarang kesulitan dalam proses pemindahan.

6. Saya menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Kelantan untuk sama-sama melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya negeri kita tidak dilanda dengan banjir besar pada tahun ini. Semoga kita semua dapat menghadapi ujian di musim tengkujuh ini dengan penuh kesabaran.

YAB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
(Dato’ Bentara Kanan)
Menteri Besar Kelantan
04 Rabiul Akhir 1441H/01 Disember 2019

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment