YDP Agong ke-16 dipilih pada 24 Januari

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong XVI (ke-16) bakal dipilih pada 24 Januari ini menerusi Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja.

Dalam satu kenyataan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata Mesyuarat Khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 akan diadakan pada 31 Januari ini.

“Menetapkan hari Khamis, 18 Jamadilawal 1440H, bersamaan 24 Januari 2019 untuk mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

“Raja-raja juga menetapkan bahawa Mesyuarat Khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong (XVI) dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada Khamis, 31 Januari 2019,” memetik kenyataan itu.

Jelas beliau, ketetapan itu dibuat hasil pertemuan raja-raja pada 10.30 pagi, di Istana Negara hari ini susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Ahad.

“Mengambil maklum dan menghormati hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V untuk berundur diri, meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong, berkuat kuasa 6 Januari 2019.

“Menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat yang telah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, laksanakan dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong, mulai 13 Disember 2016 sehingga 6 Januari 2019,” memetik kenyataan Syed Danial.

Sultan-sultan dan raja yang hadir dalam pertemuan hari ini ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah; dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.

Manakala Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah tidak berangkat kerana kurang sihat manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula berada di luar negara.- ASTRO AWANI 7/1/2019

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ydp-agong-ke-16-dipilih-pada-24-januari-195341

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
30Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment