YDP Agong ke-16 dipilih pada 24 Januari

webmaster

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong XVI (ke-16) bakal dipilih pada 24 Januari ini menerusi Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja.

Dalam satu kenyataan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata Mesyuarat Khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 akan diadakan pada 31 Januari ini.

“Menetapkan hari Khamis, 18 Jamadilawal 1440H, bersamaan 24 Januari 2019 untuk mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

“Raja-raja juga menetapkan bahawa Mesyuarat Khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong (XVI) dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada Khamis, 31 Januari 2019,” memetik kenyataan itu.

Jelas beliau, ketetapan itu dibuat hasil pertemuan raja-raja pada 10.30 pagi, di Istana Negara hari ini susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Ahad.

“Mengambil maklum dan menghormati hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V untuk berundur diri, meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong, berkuat kuasa 6 Januari 2019.

“Menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat yang telah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, laksanakan dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong, mulai 13 Disember 2016 sehingga 6 Januari 2019,” memetik kenyataan Syed Danial.

Sultan-sultan dan raja yang hadir dalam pertemuan hari ini ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah; dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.

Manakala Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah tidak berangkat kerana kurang sihat manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula berada di luar negara.- ASTRO AWANI 7/1/2019

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ydp-agong-ke-16-dipilih-pada-24-januari-195341

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Elak buat sebarang spekulasi

KOTA BHARU: Orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong. Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, tanggapan liar perlu dielakkan kerana keputusan berkenaan merupakan hak baginda. “Tiada orang tahu dan baginda sendiri pun tidak sebut mengenai perkara itu cuma dimaklumkan […]

Subscribe US Now