Yik rakam takziah pada keluarga mangsa lemas

KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (Yik) mengucapkan takziah kepada dua  keluarga mangsa mati lemas  di Pantai Kampung Nipah, Bachok 21 Januari lalu.

Mangsa berkenaan, Ilham Mohd Hafiz dan rakannya Mohd Aiman Che Hashim yang merupakan pelajar Maahad Tahfiz Sain Nipah, Bachok.

Pengarahnya, Tengku Abdul Rahman Tuan Yunus, berkata pihaknya turut berduka di atas kejadian yang membabitkan dua pelajar kelolaan Yik  baru-baru ini.

Sehubungan itu, pihaknya mengingatkan orang ramai khususnya pelajar yang tinggal di asrama perlu mematuhi arahan sekolah tempat mereka belajar.

Katanya, arahan keluar masuk telah lama dikeluarkan dan mereka perlu mematuhinya.

“Pelajar juga perlu mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku khususnya ketika musim banjir ini.

“Arahan ibu bapa, pentadbir sekolah perlu diambil perhatian sebaiknya di samping menjaga diri sendiri,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak mendoakan bagi memohon keselamatan keluarga, anggota masyarakat di negeri itu terpelihara.

Dua mangsa dikatakan mandi bersama lima lagi rakan mereka yang lain namun, lima daripada mereka sempat diselamatkan nelayan yang melalui kawasan tersebut.

Lima yang selamat ialah Ahmad Daniel Mohd Azizi (beralamat di Tumpat); Mohd Nafiz Irfan (dari Salor); Omar Saizam (Kasar, Pasir Mas); Taiha Mohd Hatan (dari Sungai Petani, Kedah) dan Daniel Hakim Mohd Sabri (dari Kajang, Selangor).

Jenazah adik Ilham ditemui Ahad lalu kira-kira jam 10.15 pagi di Pantai Tok Abas Nipah, manakala jenazah adik Mohd Aiman ditemui pagi semalam di persisiran Pantai Cahaya Bulan.

Antara yang turun membantu Pegawai Yik, Ustaz Harun Ismail, Mudir Maahad Tahfiz Sains Nipah, Ustaz Zulkifli Husain Ali dan lain-lain kakitangan Yik selain anggota exco kerajaan negeri dan pimpinan lainnya.

Sementara itu hanya tiga buah sekolah yang masih belum beroperasi berbanding lebih 11 buah sekolah ketika kemuncak banjir melanda Kelantan pada gelombang kedua.

Sekolah berkenaan, Sek Men Agama (A) Nurul Huda Kajang Sebidang Tumpat, Sek Men Agama (A) Diniah Kampung Bongor, Pasir Mas dan Sek Men Agama (A) Al Falah Siram, Pasir Mas. – HARAKAHDAILY 24/1/2017

(Visited 34 times, 7 visits today)

Add Comment