KOTA BHARU – Kerajaan negeri meminta orang ramai untuk mematuhi peraturan dan menjaga kebersihan terutamanya di kawasan laluan utama berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, jika peraturan tersebut tidak dipatuhi, kemungkinan besar laluan itu tidak boleh dijadikan persinggahan selepas ini.
“Buat masa ini kita tidak menghalang penjual berniaga di kawasan tersebut namun saya juga telah mengeluarkan arahan supaya Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandar raya Islam (MPKB-BRI) panggil peniaga untuk beri kerjasama bagi memastikan kawasan tersebut tidak dicemari dengan sampah sarap,” katanya kepada media di sini.
Beliau diminta mengulas mengenai viral di laman sosial Facebook mengenai sisa sampah yang dibuang di tepi laluan utama Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini.
Menurutnya, laluan utama masuk ke Kelantan itu adalah jalan persekutuan dan di bawah urusan Jabatan Kerja Raya dan Roadcare.
Beliau berkata, malah tugas Roadcare adalah membersihkannya sebulan sekali dan ia tidak menjadi masalah jika masyarakat mengamalkan budaya menjaga kebersihan tersebut.[SINAR HARIAN]