Kota Bharu – Sehingga Mac 2016 terdapat 171 mesin dialisis di seluruh pusat hemodialisis kerajaan dan 231 buah mesin di pusat hemodialisis swasta. Manakala pada masa ini terdapat seramai 159 pesakit berada dalam senarai menunggu untuk menjalani rawatan dialisis di seluruh Kelantan.
Demikian jawapan yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan, Dr Ramli Mamat sewaktu menjawab soalan tambahan ADUN Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim,.
Menjawab soalan asal daripada ADUN sama tentang cadangan untuk mewujudkan Pusat Dialisis bagi membantu pesakit buah pinggang, beberapa kajian perlu dilakukan sebelum menerima cadangan tersebut kerana ia melibatkan komitmen dan implikasi kewangan yang tinggi seperti penyediaan tempat, penyelenggaraan yang memerlukan tenaga kerja, pegawai perubatan terlatih yang mempunyai sijil kursus bagi tempoh tertentu di pusat dialisis seliaan pakar buah pinggang (nephrologist).
Pusat ini juga memerlukan pemantauan dari nephrologist, hubungan dengan pihak hospital selain keperluan-keperluan berkaitan.