194 Penduduk Kerilla Menerima Lot Penempatan

Tanah Merah – Seramai 194 orang penduduk Kerilla menerima lot tanah pada Majlis Pembahagian Tapak Rumah Masyarakat Ladang Kerilla di Jajahan Tanah Merah yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob kelmarin.

Daripada jumlah itu, 99 orang membabitkan kaum India, 91 orang Melayu dan 4 orang Cina.

Pembahagian tersebut membabitkan tapak penempatan rumah pekerja Ladang Kerilla dengan jumlah keseluruhan lot adalah seluas 15.38 hektar.

Tujuan utama adalah untuk menyediakan tapak kediaman kepada pekerja estet yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India yang majoritinya tidak mempunyai tapak kediaman selepas bersara.

Lot yang dicadangkan sebanyak 8 lot rumah kedai, 186 lot kediaman, surau, kuil, dewan, padang permainan dan tapak pasar malam.

Tapak Pasar Malam seluas 0.1011 hektar akan memberi sinergi dan menyediakan peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

Penempatan kedua pula membabitkan tapak penempatan perpindahan banjir di Kampung Panjang dengan jumlah keseluruhan lot adalah seluas 20.23 hektar.

Tujuan utama adalah untuk menyusun semula penempatan penduduk yang terlibat dengan masalah banjir.

Antara penduduk kampung yang terlibat adalah penduduk Kampung Panjang, Kampung Liku, Kampung Gobek dan Kampung Rambai.

Penempatan baru ini membolehkan penduduk menikmati kemudahan infrastruktur seperti bekalan elektrik, bekalan air bersih, sekolah, klinik dan sebagainya.

Lot ini merangkumi 177 lot kediaman.

Dalam ucapan perasmian Dato’ Ahmad menjelaskan bahawa pihak Kerajaan Negeri sentiasa memantau setiap projek pembangunan untuk rakyat dengan mengharapkan kerjasama yang baik daripada setiap lapisan masyarakat.

Bagi meringankan bebanan penduduk, beliau turut menyarankan semoga ada agensi yang sanggup membantu penduduk membina rumah kediaman untuk mereka.

(Visited 27 times, 1 visits today)

Add Comment