Sekolah kementerian tiru amalan pelajar Yik

KOTA BHARU: Biar pun kekurangan kemudahan asas berbanding sekolah di bawah Kementerian Pelajaran, namun permohonan belajar di sekolah agama Yayasan Islam Kelantan (Yik) tetap meningkat.

Malah tahun ini peningkatan pelajar baru di tingkatan satu begitu ketara sekali sehingga ada sekolah agama terpaksa menolak permohonan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata sekolah Yik tidak dapat mampu menampung jumlah permohonan pelajar baru begitu ramai sekarang.

Contohnya kata beliau Sekolah Menengah Agama (Arab) Tarbiah Mardiah Panchor lebih 700 pelajar memohon belajar di tingkatan satu tahun ini.

“Bagaimanapun sekolah tidak mampu menerima kesemuanya kerana masalah kelas yang terhad.

“Kesedaran tinggi masyarakat terhadap pendidikan Islam menyebabkan sebahagian besar sekolah Yik menerima banyak permohonan pelajar baru.

“Masyarakat mulai kembali kepada agama bagi menangani masalah sosial yang melanda golongan muda sekarang,” ujarnya.

Peningkatan pelajar baru bukan sahaja berlaku di kawasan bandar sebaliknya di SMU (A) Sungai Sok, Kuala Krai juga berlaku pertambahan pelajar baru.

Hampir 100 pelajar baru mendaftar pada hari pertama persekolahan Ahad lepas. Pelajar terbabit termasuk dari Sungai Rek, Sungai Syam, Lata Rek dan Manek Urai.

Sekolah tersebut terletak kira-kira 4 km dari jalan Kuala Krai-Gua Musang. Ia menawarkan tingkatan satu hingga lima. Bilangan pelajar akhir tahun lepas lebih 200 orang.

Manakala guru pula seramai 17. SMU (A) Falahiah juga mempunyai bangunan asrama lelaki dan perempuan. Bagaimanapun asrama lelaki hanya dapat memuatkan 17 pelajar dan perempuan (40 orang).

Ketika bah besar melanda akhir 2014 asrama lelaki rosak, manakala sebuah rumah guru yang terletak berdekatan terjejas teruk.

Sekolah berkenaan juga merupakan sekolah agama tertua di Dun Manek Urai.

Dr Fadzli juga berkata banyak sekolah di bawah kementerian menerima pakai peraturan diamal pelajar sekolah Yik termasuk tudung labuh, songkok dan amalan solat dhuha serta solat hajat.

“Ada sekolah mewajibkan pelajar membaca al-Quran sebelum masuk kelas dan menyertai usrah seperti amalan di sekolah Yik,” katanya. –HARAKAHDAILY 7/1/2015

(Visited 32 times, 1 visits today)

Add Comment