KOTA BHARU: Premis perniagaan yang gagal mengosongkan tangki septik sekurang-kurangnya tiga tahun sekali lesen perniagaan mereka tidak akan diperbaharui.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata peraturan itu dibuat memandangkan rakyat Kelantan masih di tahap rendah mengurus sistem pembentungan lebih teratur.
“Situasi ini akan menjejaskan kesihatan masyarakat memandangkan kebanyakan kita menggunakan air dari sumber bawah tanah.
“Tidak mustahil suatu hari nanti air yang kita guna dari bawah tanah bercampur dengan bahan buangan kerana sistem pembentungan tidak diurus dengan baik,” katanya selepas pelancaran e-Perakuan dan penyampaian cabutan sedut dan menang di sebuah hotel di sini semalam.
Pada program itu seramai 20 pelanggan Majaari yang menyertai pertandingan memenangi hadiah termasuk motosikal Modenas, peti sejuk, televisen, dapur masak dan barangan letrik.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ahmad Zakie Ahmad Shariff. –HARAKAHDAILY 11/1/2016