Thursday, 1 June 2023
Menu

85 mangsa ribut dibantu

TANAH MERAH – Seramai 85 penduduk dari beberapa kampung yang menjadi mangsa ribut pada akhir September lalu, menerima sumbangan Tabung Serambi Makkah di bawah kerajaan negeri bagi meringankan beban mereka.

Setiap mangsa menerima RM500 hingga RM1,000 bergantung kepada tahap kerosakan harta benda dan kerugian yang dilaporkan akibat bencana itu.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, yang juga Adun Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood sempena Cakna Rakyat 2015 Dun itu, baru-baru ini.

Menurut Abdul Fattah, sumbangan itu diberikan kepada mangsa ribut terlibat dari Banggol Tok Ajar, Pondok Lama, Kelewek, Kampung Sat, Banggol Jenereh dan Belimbing.

“Hari ini, ada mangsa ribut yang terima sumbangan pendahuluan daripada tabung dan ada yang terima baki sumbangan kerana dapat bantuan pendahuluan sebelum ini.

“Kita juga sampaikan baki sumbangan RM1,000 dari tabung sama kepada seorang penduduk Kampung Bukit Merah yang hilang tempat tinggal dalam kebakaran pada 30 Oktober lalu,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa, Wan Abdul Rahim Wan Mahmood menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan tersebut.

Katanya, walaupun kerugian dialaminya tidak teruk, kejadian itu meninggalkan kesan trauma, terutama kepada isterinya yang berada di rumah ketika ribut berlaku.

“Dalam kejadian itu, rumah kami ditimpa kayu panjang yang diterbangkan angin kuat sehingga menembusi bumbung rumah dan tergantung di ruang tamu.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri yang tetap prihatin dan menghulurkan sumbangan Tabung Serambi Makkah ini, walaupun kerugian kami tidak besar,” katanya.

 

(Visited 4 times, 1 visits today)

Add Comment