KUALA LUMPUR – Memahami denyut nadi rakyat yang dalam kesusahan serta memerlukan sokongan yang berterusan, Ahli Parlimen Machang YB Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, mengusulkan kepada kerajaan pusat agar dipertimbangkan semula untuk membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
Jelasnya, pengeluaran KWSP secara bersasar ini perlu diambil perhatian serta dipertimbangkan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat akibat kos sara hidup yang ketika ini adalah tinggi selain masalah kenaikan harga barang.
“Pengeluaran KWSP secara bersasar ini merupakan satu cara untuk membantu rakyat bagi meringankan kos sara hidup serta beban yang ditanggung, hal ini kerana, saya mendapati banyak pandangan dan komplen keresahan daripada rakyat terhadap perkara ini,” katanya semasa sidang media di Dewan Rakyat semalam.
Sementara itu, tambahnya usul terbabit telah ditolak oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng dengan alasan Timbalan Menteri dan Menteri Kewangan telah menjelaskan perkara berkaitan pengeluaran bersasar KWSP ini dan keputusan sudah dibuat Yang Dipertua, Datuk Johari Abdul.
Sebelum ini, pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim membenarkan ahli KSWP menggunakan caruman mereka tetapi melalui cagaran bank bagi mereka yang mempunyai wang caruman yang besar, namun rata-rata berpandangan perkara terbabit akan menghadapi kesulitan pada masa hadapan serta menyusahkan rakyat.
#ViraliyatBerita9pg