AKTIVITI KEHIDUPAN SEHINGGA JAM 12 MALAM: SINKRONISASI FITRAH MANUSIA DAN ALAM

oleh Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa

CADANGAN bernas YAB Menteri Besar Negeri Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad bin Yakob untuk melaksanakan peraturan aktiviti jualan makanan melalui restoran dan kedai-kedai makan di seluruh Kelantan dihadkan pada waktu malam tidak melebihi jam 12 malam adalah tindakan pro-aktif dan amat positif ke arah menjaga kerukunan hidup bersosial dan bermasyarakat.

Merujuk kepada ajaran Islam sebagai agama fitrah melalui ayat 10 dan 11 surah An Naba’ secara jelas Allah SWT menjadikan waktu malam sebagai pakaian yang bermakna rehat dan tidur manakala waktu siang pula Dia jadikan sebagai masa bekerja untuk membina kehidupan. Terlalu banyak kupasan ilmiah menurut dimensi sains tentang manfaat tidur dan rehat kepada jasad manusia pada waktu malam manakala pada waktu siang pula badan yang sihat perlu bergerak cergas.

Ahli masyarakat yang menginginkan kesejahteraan hidup tanpa mengira pegangan agama wajar memahami hakikat Allah SWT sebagai Pencipta telah memberi isyarat tentang waktu malam sebagai garis masa yang terdedah kepada kejahatan dan keburukan dengan memahami perincian berikut;

1) Allah menurunkan surah al-Falaq yang mengajar agar kita berdoa memohon perlindungan daripada kejahatan malam apabila dia gelap gelita. Perkataan malam disebut di dalam surah ini dengan ‘Ghasiqin Iza Waqab’.
2) Hadis riwayat al-Tirmizi daripada Aisyah RadhiyaLLahuanha bahawa Nabi SAW telah melihat kepada bulan lalu berkata “wahai Aishah, hendaklah engkau berlindung dengan Allah daripada kejahatan ini, sesungguhnya ini adalah al ghasiq iza waqab (malam apabila dia gelap gelita)”.
3) Mengikut jumhur ahli tafsir, al ghasiq ialah malam dan diminta perlindungan apabila tiba waktu malam kerana waktu malam adalah kemungkinan segala kejahatan melibatkan keaktifan ahli batil, kecurian, penyebaran racun dan wabak oleh binatang berbisa.
4) Ibnu al-Qayyim menerusi kitabnya ‘Bad’e Al Fawaid’ menghuraikan tentang hikmah Allah memerintahkan hamba-Nya meminta pertolongan dengan-Nya daripada kejahatan malam dan bulan (kegelapan) kerana dalam tempoh ini penguasaan ruh-ruh jahat dan kotor serta penularan aktiviti negatif melibatkan unsur kesyaitanan.
5) Bukhari dan Muslim meriwayatkan beberapa hadis menunjukkan bahawa pada malam itu akan berlaku kejahatan seperti ‘apabila tiba malam maka tahanlah anak-anak kecil kamu, sesungguhnya syaitan bertebaran waktu itu, apabila berlalu satu waktu daripada malam maka biarkan mereka, tutuplah pintu-pintu rumah dan sebutlah nama Allah, sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup, ikatlah atau tutupi bejana kamu dan sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas kamu dan sebutlah nama Allah walaupun dengan hanya meletakkan sebatang sesuatu dan matikan lampu-lampu kamu’.

Berdasarkan dalil di atas, maka cadangan YAB Menteri Besar agar dikuatkuasakan peraturan menghadkan operasi perniagaan kedai-kedai makan sehingga jam 12 malam termasuklah fenomena songsang seperti beraktiviti sukan atau berlibur yang bermula pada awal malam santak ke jam 2.00 hingga 3.00 pagi juga patut dibenteras kerana ia jelas menyanggah lumrah alamiah peredaran alam dan keperluan rehat jasad manusia.

Hal ini mustahak dikuatkuasakan segera bagi membenteras gejala sosial yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat. Maka usul bestari YAB Menteri Besar Kelantan ini wajar disokong oleh semua pihak demi mengsinkronisasikan kehidupan manusia dan alam pada aras keharmonian dan kelestarian seimbang.– UPKN KELANTAN 23/10/2019

(Visited 9 times, 1 visits today)

Add Comment