oleh Norzana Razaly
KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan tetap peka terhadap perkembangan dunia perbukuan sebagai dokumentasi rakaman peristiwa dan penanda aras peradaban bangsa meskipun ledakan dunia digital sedang rancak menguasai zaman.
Sehubungan itu, Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK), YB Dato’ Dr. Fadzli Hassan berkata, bumi yang subur disirami air jernih lalu diletak biji benih akan menumbuhkan bunga dan buah manis yang berguna kepada manusia. Demikianlah perumpamaan pendidik yang teliti bak penenun, membentuk masa depan masyarakat bermula dari mengajar akhlak kepada anak-anak di bangku sekolah.
“Usaha pihak guru selaku penulis, penyelanggara dan penerbit amatlah terpuji dan diharapkan terus gigih memperbanyakkan hasil penulisan sebegini kerana Islam memang berkembang melalui ilmu, pembacaan dan penulisan bermula dengan “iqra’”, ujarnya ketika merasmikan buku Menenun Zaman 3, anjuran PPAK di Hotel Holiday Villa dekat sini, sebentar tadi.
Antologi ini mempunyai jilid 1 dan 2 yang memuatkan 54 buah kisah benar mengenai siri memoir diri para guru dan pensyarah yang masih bertugas dan telah bersara.
Penyelenggaranya, Mukhtar Mustafa memaklumkan antara kisah menarik yang dipaparkan oleh 54 penulis buku ini ialah pengalaman selama dua setengah tahun di Maktab Perguruan merangkumi episod pertemuan pertama dan perpisahan termasuklah pengalaman bertugas pertama kali di pedalaman Sabah, Sarawak dan kawasan Orang Asli.
“Para penulis juga berkongsi pengalaman praktikum, gementar menghadapi murid dan penyelia, gundah-gulana ketika mengajar di kelas yang muridnya tidak boleh menerima pelajaran dan dilema cikgu yang berhadapan situasi di maktab kursus lain tetapi mengajar mata pelajaran lain di sekolah.
“Kisah guru menjadi warden, guru al-Quran dan berdepan ujian pasangan berjauhan dapat memberi pedoman kepada bakal guru dan pembaca lain”, katanya.
Buku terbitan bersama Kembara Sastera Kelantan dan Pustaka Dewan Puisi, 2020 yang bernilai RM30 senaskhah boleh dibeli melalui e-mel mukhtarmustafa.1955@gmail.com atau aplikasi whatsapp 011 19808991.
Turut hadir pada majlis perasmian, Timbalan Exco, YB Azhar Salleh dan Pengarah PPAK, Nik Jessim Nik Hashim.