oleh Norzana Razaly
Kerajaan Negeri Kelantan di bawah Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar istiqamah menganjurkan program Dapur Hijau sejak tahun 2015 hingga sekarang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa portfolio berkenaan, YB Hj. Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, konsep pertanian bandar (urban farming) atau Dapur Hijau adalah aktiviti berkebun bukan berasaskan keuntungan untuk memberi nilai tambah kepada penjanaan ekonomi masyarakat.
“Konsep sebegini telah lama diamalkan di negara maju dan semakin diterima di Malaysia, khususnya Kelantan”, katanya.
Tambahnya lagi, bagi mengurangkan perbelanjaan bulanan berikutan peningkatan kos sara hidup yang memfokuskan kepada golongan wanita dan ibu tunggal berpendapatan rendah.
“Aktiviti bermanfaat ini berjaya mengurangkan perbelanjaan dapur dengan menggunakan hasil tanaman mereka sendiri untuk kegunaan harian seisi rumah”, ujarnya.
Oleh yang demikian, bagi tahun 2020, satu program pelancaran peringkat negeri dan penganugerahan kepada para pemenang, peserta dan ahli pemantau bagi tahun 2019 akan diadakan sebagai ketandaan rasmi dan permulaan program ini bagi tahun 2020 pada 12 Mac 2020 (Khamis) bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang di Dewan Jubli Perak, MPKB-BRI, Kota Bharu, Kelantan.
Orang ramai dipersilakan hadir menyaksikan majlis perasmian bermula pukul 10.30 pagi dan mengikuti pengisian pelbagai acara menarik khasnya penganugerahan kepada para pemenang program Dapur Hijau bagi Tahun 2019 dan Pelancaran program Dapur Hijau bagi Tahun 2020 serta mengunjungi reruai pameran dan jualan hasil tani agensi.- UPKN KELANTAN 11/3/2020
Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2622499964651021